LAWATAN KERJA DAN MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA JABATAN PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR DAN TAMAN NEGARA (PERHILITAN) DENGAN MALAYSIAN PALM OIL COUNCIL (MPOC) DAN MALAYSIAN PALM OIL GREEN CONSERVATION FOUNDATION (MPOGCF)
PUSAT MENYELAMAT HIDUPAN LIAR KEBANGSAAN (NWRC), SUNGKAI, PERAK
Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Datuk Zurinah Pawanteh
Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Yang Berbahagia Datuk Ravi Muthayah
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Yang Berhormat Tuan Hj Razman bin Zakaria
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Ybhg Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim
Ketua Pengarah
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia
Yang Berhormat Encik Mohd Nor bin Hamzah
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia
Ybhg Dato’ Dr. Hj. Wan Zawawi Wan Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Minyak Sawit Malaysia
Encik Zamakhshari bin Muhammad
Pengurus Besar
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian,
Jabatan dan Agensi
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
1. Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana sudi mengadakan lawatan kerja ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai, Perak. Pada hari ini juga, Memorandum Persefahaman di antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) akan dimeterai.
2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MPOC dan MPOGCF, agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kerana menyediakan dana sebanyak RM3 juta untuk tempoh 5 tahun bagi konservasi Harimau Malaya. Inisiatif MPOC dan MPOGCF ini menunjukkan komitmen padu dan keprihatinan industri sawit dalam menyelamatkan Harimau Malaya yang diancam kepupusan. Ini sudah pastilah akan meningkatkan reputasi dan imej industri sawit serta menunjukkan betapa KPPK mengutamakan aspek kemampanan dalam menguruskan penghasilan komoditi utama negara.
3. Memorandum Persefahaman ini bukan sahaja bermakna kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tetapi kepada negara bagi menyelamatkan Harimau Malaya yang menjadi simbol dalam Jata Negara. Harimau Malaya turut dijadikan sebagai ikon oleh pelbagai agensi Kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta. Harimau Malaysia juga menjadi lambang keberanian, integriti dan perpaduan nasional.
Yang Berhormat Dato’ Dr. dan hadirin yang dihormati sekalian,
4. Pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan beberapa faktor seperti pengurangan kawasan habitat dan keliaran akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah. Selain itu, Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap.
5. KeTSA memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya. Dana yang disediakan MPOC dan MPOGCF akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan konservasi ex-situ Harimau Malaya melalui penyelidikan, bina upaya serta program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.
6. Sebanyak 6 program utama akan dilaksanakan di bawah Memorandum Persefahaman yang akan ditandatangani iaitu program pembiakan Harimau Malaya; program pembiayaan lima (5) ekor anak Harimau Malaya; program pemindahan Harimau Malaya ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (National Tiger Conservation Centre – NTCC) di Lanchang, Pahang; program meliarkan (re-wilding) Harimau Malaya; program pelepasan Harimau Malaya ke habitat asal; dan program pemantauan Harimau Malaya selepas proses pelepasan (post-release monitoring).
Yang Berhormat Dato’ Dr. dan hadirin yang dihormati sekalian,
7. Jabatan PERHILITAN melaksanakan ‘Kempen Selamatkan Harimau Malaya’ sejak tahun 2019 untuk menggalakkan penglibatan semua pihak dalam menyokong usaha Kerajaan untuk menyelamatkan Harimau Malaya. Kempen ini merangkumi program konservasi dan penguatkuasaan; kesedaran awam; publisiti dan promosi serta program sumbangan dan Corporate Social Responsibilities (CSR). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan sumbangan dalam menjayakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya. Saya berharap lebih ramai lagi akan tampil untuk membantu menjayakan kempen ini.
8. Dalam aspek perundangan, KeTSA sedang dalam proses meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] supaya lebih responsif kepada keperluan semasa dan meningkatkan lagi konservasi hidupan liar dengan meningkatkan penalti bagi kesalahan-kesalahan serta menambah peruntukan kawalan terhadap aktiviti perdagangan dan promosi atas talian (online).
Yang Berhormat Dato’ Dr. dan hadirin yang dihormati sekalian,
9. Selepas acara menandatangani MoU, saya bersama-sama YB Dato’ Dr. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melihat dengan lebih dekat aktiviti konservasi hidupan liar yang dilaksanakan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan ini. NWRC ditubuhkan sebagai pusat menyelamat hidupan liar bagi memenuhi keperluan di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
10. Penubuhan NWRC juga adalah bagi memenuhi obligasi di bawah Konyensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) iaitu sebagai penempatan sementara bagi hidupan liar yang dirampas di bawah Akta 686. Selain itu, NWRC menjadi pusat penempatan hidupan liar yang cedera serta terlibat dalam konflik hidupan liar dan manusia.
11. Pengukuhan kerjasama strategik antara KeTSA dan KPPK dalam konservasi hidupan liar sewajarnya menjadi pemangkin kepada usaha-usaha konservasi biodiversiti melalui penglibatan kolektif semua pihak termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyarankan supaya semua pihak berganding bahu dan terus berusaha untuk melindungi dan memulihara spesies Harimau Malaya yang merupakan khazanah negara yang amat berharga. Memulihara hidupan liar khususnya Harimau Malaya ini bukanlah menjadi tugas Kerajaan atau individu tertentu sahaja tetapi menjadi tanggungjawab kita semua.
Yang Berhormat Dato’ Dr. dan hadirin yang dihormati sekalian,
12. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan rombongan atas kesudian hadir ke NWRC petang ini. Saya juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program lawatan kerja dan majlis pemeteraian MoU ini. Akhir kata, marilah sama-sama kita memastikan Harimau Malaya tidak pupus dan simbolnya pada Jata Negara dapat terus dibanggakan.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
YB DATUK SERI DR.SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
12 APRIL 2021