INISIATIF KEMENTERIAN TENAGA DAN SUMBER ASLI BAGI MEMBANTU PIHAK YANG TERJEJAS SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN 3.0
(i) PELANJUTAN DISKAUN BAYARAN SEWAAN KEPADA PENYEWA TANAH DAN RUANG BANGUNAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
(ii) BANTUAN DANA PRIHATIN KEBAJIKAN HIDUPAN LIAR KEPADA ZOO DAN PAMERAN TETAP (ZPT) BERIKUTAN TOTAL LOCKDOWN
Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh rakyat ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Sejak pengumuman PKP pertama pada bulan Mac 2020 yang lalu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah menyediakan pelbagai inisiatif melalui penyaluran bantuan kepada sektor di bawah kawalan Kementerian yang terjejas. Bagi membantu penyewa tanah Persekutuan dan penyewa ruang bangunan Kerajaan Persekutuan, inisiatif pemberian diskaun kepada penyewa-penyewa ini yang diberikan sehingga 30 Jun 2021, akan diteruskan untuk tempoh 6 bulan bermula 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2021.
Inisiatif kepada penyewa-penyewa tanah dan ruang bangunan Persekutuan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 ini di samping memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan Persekutuan.
Kementerian turut prihatin kepada Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas berikutan pelaksanaan lockdown ini. Selain ketiadaan sumber pendapatan akibat daripada tiada kutipan tiket masuk, ZPT juga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi termasuk bagi menyediakan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, sejumlah RM3.9 juta peruntukan daripada Kerajaan dan RM500,000.00 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program tanggungjawab sosial korporat disalurkan secara berperingkat kepada 25 ZPT yang terjejas bermula Mei 2020.
Sebagai kesinambungan terhadap bantuan yang disalurkan sebelum ini, KeTSA melalui peruntukan Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah meluluskan penyaluran dana segera berjumlah RM179,426.00 sebagai peruntukan awal Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis Zoo dan
Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas teruk dengan pelaksanaan lockdown ini. Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar pada kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera oleh 10 premis ZPT berkenaan.
Kerajaan melalui KeTSA sentiasa komited dalam membantu sektor di bawah kawalan Kementerian yang terkesan termasuklah dalam memastikan kebajikan rakyat ditingkatkan dan perlindungan hidupan liar terus terpelihara.
YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga & Sumber Asli.
9.6.2021
#parlimenlenggong #persatuankomunitipelancongan76lenggong #geopark #akisgallery #SayangiLenggong #ketsa