Kenyataan Media: Hutan Khazanah Amat Bernilai Di Lenggong

June 11, 2021

HUTAN KHAZANAH AMAT BERNILAI DI LENGGONG

Kehijauan muka bumi Lenggong yang dipenuhi hutan menyebabkan Lenggong memiliki nilai biologi yang sangat tinggi. Kerana itu, hutan merupakan eset yang sangat berharga dan menjadi penting kepada pengiktifan Lenggong Geopark. Semua ini membolehkan usaha pembangunan geopelancongan yang pastinya memberikan pulangan ekonomi yang amat bermanfaat. Malah Lenggong mempunyai kelebihan diangkat sebagai Lenggong Global Geopark dan mengikut perancangannya pada 2023 juga kerana kehijauan hutan yang dimilikinya.

Mengikut kajian dan maklumat daripada pasukan Geopark Lenggong. Lenggong memiliki hutan campuran dipterokarpa tanah rendah dan bukit, hutan batu kapur dan hutan gunung. Taburan pelbagai jenis hutan ini bergantung kepada jenis tanih, iaitu faktor terpenting kerana hubung-kait dengan geologi ( jenis batuan) dan topografi (seperti kecuraman tebing, tanah rata).

Dalam kawasan Lenggong Geopark, terdapat Hutan Simpanan Kekal ( HSK ) seluas 1,402.8 km2. Hutan ini digazet dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian 1985) bagi memastikan hidupan liar dan ekosistem hutan yang penting di Perak dipulihara dan dilindungi. Sebahagian daripadanya ialah kawasan Hutan Simpanan Kekal Pemuliharaan iaitu seluas 928.1 km2 (66.2%). Semua ini khazanah penting yang sangat penting kita kekalkan untuk generasi hari ini dan masa depan. Ini juga bermakna hutan di Lenggong mempunyai peranan besar dalam kehidupan manusia serta hidupan yang lain.

Daripada keluasan HSK berkenaan, 442.7 km2, iaitu hampir 31.6% daripadanya adalah Hutan Simpanan Kekal (Perlindungan). Hutan jenis ini merangkumi hutan untuk tadahan hujan, hutan lipur, hutan penyelidikan, hutan perlindungan tanah tinggi, hutan simpanan dara dan Central Forest Spine. Diantara kawasan hutan berkenaan ialah di Lata Kekabu Lenggong, dan sebagainya.

LUAS KAWASAN HUTAN SIMPAN KEKAL PENGELUARAN
DI DALAM KAWASAN LENGGONG GEOPARK
HUTAN SIMPAN KEKAL (HSK) DAERAHLUAS (KM2)%
1 BINTANG HIJAU LENGGONG 343.424.5
2 PIAH LENGGONG 339.124.2
3 KENDERONG HULU PERAK 30.52.2
4 AYER CHEPAM HULU PERAK 124.48.9
5 GERIK HULU PERAK 4.10.3
6 PAPULUT HULU PERAK 86.66.2

JUMLAH LUAS HSK PEMULIHARAAN 928.166.3
JUMLAH LUAS HSK KESELURUHAN 1402.8100

KAWASAN HUTAN SIMPANAN KEKAL PERLINDUNGAN
MENGIKUT PENGKELASAN HUTAN
DI DALAM KAWASAN LENGGONG GEOPARK

PENGKELASAN HUTAN HUTAN SIMPANAN KEKAL LUAS (KM2)%
1 HUTAN TADAHAN AIR BINTANG HIJAU 137.59.8
2 HUTAN LIPUR BINTANG HIJAU 30.2
3 HUTAN PENYELIDIKAN BINTANG HIJAU, PAPULUT 9.80.7
4 HUTAN PERLINDUNGAN BINTANG HIJAU, PIAH, AIR 244.417.4
TANAH TINGGI CHEPAM
5 HUTAN SIMPANAN DARA BINTANG HIJAU 4.90.4
6 CENTRAL FOREST SPINE (CFS)* 43.13.1
BINTANG HIJAU, BELUKAR SEMANG, PAPULUT

JUMLAH KELUASAN HSK PERLINDUNGAN 442.731.6
JUMLAH KELUARAN HSK KESELURUHAN 1402.8100

Realitinya kita mesti berbangga, Hutan di Malaysia adalah antara yang terkaya di dunia. Kepelbagaian spesies tumbuhan dan hidupan liar di Hutan Kita adalah jauh lebih kaya jika dibandingkan dengan saiz kawasan yang sama di tropika Afrika atau Amerika. Hutan kita merupakan aset semula jadi yang amat berharga kepada pembangunan sosioekonomi serta perkhidmatan ekosistem termasuk menjadi habitat kepada jutaan spesies flora dan fauna, menyedia sumber bekalan air yang bersih dan oksigen untuk kelangsungan hidup serta menstabilkan iklim. Maka, tentu sebagai warga dan pemimpin di Lenggong saya bangga kerana hutan di Lenggong adalah sebahagian daripada kekayaan tersebut dan warga Lenggong serta masyarakat wajib pertahankannya.

Berdasarkan laporan oleh Food and Agriculture Organization (FAO), Malaysia adalah antara 25 negara sedang membangun yang mempunyai litupan hutan yang tinggi dan kegiatan penyahutanan yang rendah atau high forest cover and low deforestation activities.
Mengikut rekod negara kita mempunyai 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok. Daripada keluasan itu, 43.6 peratus adalah di Semenanjung Malaysia, 64.5 peratus di Sabah dan 62.3 peratus di Sarawak. Peratusan ini adalah lebih tinggi daripada kebanyakan negara Eropah termasuk Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom. Dan Kawasan Geopark Lenggong adalah penyumbang sebahagian daripada 55.3 peratus itu.

Walaupun kita amat memahami pembangunan tidak dapat dielakkan. Namun sebagai tanggungjawab dan keprihatinan kita bersama kita mesti letakkan memelihara hutan sebagai keutamaan. Kita bukan hanya bertanggungjawab memenuhi komitmen yang diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazil dengan mengarus perdanakan rsama pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara. Namun yang lebih utama kita mesti sedar tanpa hutan hidup kita menjadi tidak sempurna kerana hutan menyumbang kepada kesejasteraan kehidupan manusia dan hidupan yang lain.

Secara peribadi saya sangat menyintai hutan. Oleh yang demikian melihat kepentingan hutan dalam kehidupan hidup kita dan masyarakat dunia, marilah kita bersama untuk terus komited dalam menjaga, memelihara dan memulihara hutan Kita. Saya amat berharap Kerajaan Negeri Perak terutamanya dapat terus mempertahankan khazanah bernilai ini yang ada di Lenggong.

Justeru itu saya berharap usaha-usaha secara bersama antara kerajaan, badan korporat, pihak swasta dan institusi kewangan dapat digembeling secara bersama dalam aktiviti konservasi hutan. Semua ini penting agar hutan kita kekal terpelihara sebagai khazanah yang tinggi nilai dan tiada gantinya.

DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli
Ahli Parlimen Lenggong

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help