Kementerian Dalam Negeri Perkukuh Kawalan Laluan Tidak Rasmi Di Sempadan Perlis

October 13, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menerima sesi taklimat khas daripada pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai persediaan menjawab Soalan No. 4 daripada Ahli Parlimen Padang Besar, Tuan Rushdan Rusmi di Dewan Rakyat semalam. Soalan itu berkaitan tindakan bersepadu kerajaan membanteras penggunaan laluan tidak rasmi di sempadan Perlis bagi penyeludupan manusia, dadah dan barangan terlarang, termasuk terhadap tekong, pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan sindiket.

Menurut beliau, penyelarasan risikan dan operasi bersama sentiasa diperkemas melibatkan AKPS, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan PERHILITAN. Operasi berfokus seperti Op Tuari, Op Benteng, Op Tiris dan Op Taring dilaksanakan di kawasan panas sempadan Malaysia-Thailand, khususnya sekitar Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam.

Beliau menegaskan tindakan tersebut bukan sahaja melibatkan penahanan PATI, rampasan barangan terlarang dan pembanterasan penyeludupan manusia, malah melumpuhkan keseluruhan ekosistem sindiket termasuk rantaian tekong, pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan mereka di bawah AMLA 2001 dan ATIPSOM 2007.

KDN turut membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN) berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data, termasuk penubuhan ‘single command centre’ bagi menyelaraskan tindakan agensi. “Keselamatan negara tidak boleh bergantung kepada kekuatan anggota dan pemeriksaan manual semata-mata. Kita memerlukan sistem yang mampu mengesan ancaman secara masa nyata,” jelas beliau.

Di Perlis, sistem CCTV di kompleks ICQS kini dilengkapi 40 unit kamera dan 264 unit lampu limpah meliputi 27 zon pengawasan sepanjang lebih 53 kilometer. Sesi taklimat sebelum persidangan merupakan amalan standard bagi memastikan setiap jawapan kepada Dewan adalah tepat dan berlandaskan data terkini.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help