KDN Tidak Terikat Luluskan Setiap Permohonan Kewarganegaraan

November 7, 2023

KUALA LUMPUR: Kelahiran di Malaysia tidak membolehkan seseorang individu memperolehi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kewarganegaraan individu ditentukan berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran berlaku, selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

Berhubung permohonan kewarganegaraan, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, ia tertakluk di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan, tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada.

“Sehubungan dengan itu, tiada tempoh masa tertentu yang ditetapkan bagi pengeluaran keputusan, dan ia berbeza-beza mengikut keperluan kes,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sesi Kamar Khas di Parlimen, sewaktu menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mempersoalkan tempoh masa kelulusan yang lama diperlukan untuk memperolehi taraf kewarganegaraan.

Jimmy berkata, tempoh kelulusan yang lama dikhuatiri memberi masalah kepada pemohon seperti tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, atau tidak mendapat akses rawatan sempurna di hospital dan klinik kerajaan kerana caj yang tinggi.

Menjawab soalan itu, Shamsul Anuar berkata, penganungerahan kewarganegaraan kepada individu luar merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri tidak terikat untuk meluluskan setiap permohonan yang diterima walaupun pemohon adalah individu yang layak.

Tambahnya lagi, syarat-syarat yang dinyatakan hanya melayakkan permohonan, tetapi tidak menjamin permohonan itu akan diluluskan.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar menjelaskan, kerajaan tidak menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan akses pendidikan dan perubatan sewajarnya.

“Dalam hal ini, bagi individu yang belum berdokumen, resit rasmi permohonan kewarganegaraan dan resit permohonan daftar lewat kelahiran boleh digunakan sebagai rujukan pengesahan diri individu berkenaan tertakluk kepada dasar, peraturan dan syarat-syarat kementerian berkaitan,” katanya lagi.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kdn-tidak-terikat-luluskan-setiap-permohonan-kewarganegaraan-445043

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help