KDN Perkukuh Usaha Tangani Rasuah Dalam Agensi Penguatkuasaan

March 6, 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan komitmen serius dalam menangani isu rasuah melibatkan pegawai kerajaan, khususnya pegawai kanan, demi menjaga kepercayaan rakyat dan keselamatan negara. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, memaklumkan di Dewan Negara bahawa pegawai kanan kerajaan merujuk kepada pegawai daripada kumpulan pengurusan tertinggi, iaitu pegawai yang memegang gred jawatan utama C dan ke atas.

Menurut beliau, sepanjang tempoh 2021 hingga 31 Januari 2026, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan 36 tangkapan melibatkan pegawai kumpulan ini, dengan 20 pertuduhan, nilai rasuah berjumlah RM22,405, dan 8 kes sabitan.

Bagi memastikan tadbir urus agensi sentiasa terpelihara, KDN melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap rasuah dan salah laku, khususnya dalam agensi penguatkuasaan. Langkah ini melibatkan tindakan tegas, pemantauan disiplin, penggunaan teknologi seperti kamera badan, serta penubuhan dan pemerkasaan unit integriti di semua jabatan dan agensi di bawah KDN. Di peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang dalaman, manakala Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pula memantau dan menyiasat aduan salah laku secara bebas.

KDN turut memperkukuh kerjasama strategik dengan SPRM, termasuk penempatan pegawai kanan SPRM di unit integriti KDN dan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), AKPS, dan AADK. Jawatankuasa tatakelola di peringkat kementerian juga diwujudkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, dengan mesyuarat berkala bagi memastikan pemantauan dan penilaian pelaksanaan tadbir urus yang baik.

Selain itu, KDN melaksanakan pensijilan Anti-Bribery Management System mengikut standard antarabangsa sejak 2021 dan memperkenalkan strategi pemberantasan rasuah organisasi 2025-2029 selaras dengan arahan Perdana Menteri dan Strategi Pemberantasan Rasuah Nasional.

Dalam sesi soal jawab, Shamsul Anuar menegaskan bahawa tindakan tatatertib dan perundangan akan diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan sekiranya terdapat bukti kukuh. Penggunaan teknologi seperti kamera badan turut dipertingkatkan bagi mencegah salah laku di lapangan.

Statistik dari tahun 2019 hingga Januari 2026 menunjukkan 711 tangkapan, 285 pertuduhan, dan 137 sabitan melibatkan warga PDRM, membuktikan keberkesanan penempatan pegawai SPRM di agensi penguatkuasaan.

Bagi menangani persepsi negatif masyarakat, Shamsul Anuar menekankan peranan IPCC sebagai saluran bebas untuk orang awam membuat aduan terhadap tatakelakuan anggota polis. KDN juga sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan keselamatan agar keyakinan rakyat terus terpelihara.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help