KDN, PDRM Siap Siaga Pastikan PRN 6 Negeri Lancar

June 24, 2023

KUALA NERUS: Semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan siap siaga untuk memastikan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi lancar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ini termasuk memantau lokasi panas yang sudah dikenal pasti di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya yakin kekuatan yang ada khususnya pada PDRM mampu untuk mengawal sebarang situasi sepanjang PRN.

“Kita mempunyai pengalaman cukup lama dalam menghadapi pilihan raya, sudah tentu PDRM khususnya di Terengganu dan negeri-negeri lain dan di peringkat Bukit Aman telah membuat persediaan.

“Kita berkeyakinan dengan keupayaan yang kita ada sebagaimana diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang kita telah berada pada tahap siap siaga dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Kita Madani 2023 Negeri Terengganu di Pentas Utama Pekarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir di sini hari ini.

Sebelum ini, PDRM dilapor mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri yang akan terbabit dengan PRN.

Daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi, diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang.

Turut dilaporkan kira-kira 40,000 anggota dan pegawai PDRM bakal ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran PRN di enam negeri.

Ditanya mengenai persiapan BN dalam menghadapi PRN, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, parti itu sudah bersiap sedia dan berada pada landasan terbaik.

“Saya tidak boleh kata 100 peratus, tetapi kita sudah di tahap persiapan yang sepatutnya kerana kita tahu kita akan mengadakan PRN tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1118518/kdn-pdrm-siap-siaga-pastikan-prn-6-negeri-lancar

Utusan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/06/kdn-siap-siaga-pastikan-kelancaran-prn/

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/981025/kdn-kenal-pasti-kawasan-panas-semua-agensi-siap-siaga

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help