Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperluaskan penggunaan kamera badan kepada agensi penguatkuasa yang lain.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, antaranya adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Maritim Malaysia dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan, pada Selasa, di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15.
Selain itu, Shamsul juga memberitahu kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan.
Kamera badan itu akan digunakan oleh anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) dan anggota Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) bagi tujuan penguatkuasaan.
“Kerajaan telah meluluskan RM30 juta peruntukan kamera badan untuk PDRM melalui Rancangan Malaysia ke-12,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Kar Hing memohon Ahli Parlimen Lenggong itu menyatakan pendirian kerajaan tentang cadangan untuk mewajibkan pemakaian kamera badan kepada ahli penguatkuasa PDRM.
Selain itu, Shamsul berkata, beliau yakin penggunaan kamera badan akan memperkasa tahap integriti, profesionalisme serta ketelusan ketika berurusan, selain melindungi kepentingan semua pihak.
“Penggunaan kamera badan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha PDRM untuk memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Sumber: https://www.bnnewsonline.com/kdn-mahu-perluas-penggunaan-kamera-badan-ke-agensi-lain/
Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/655894
Berita RTM: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/57808-penggunaan-kamera-badan-kdn-perluas-kepada-agensi-penguatkuasaan-lain