Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa memastikan penambahbaikkan dilaksanakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Memandangkan ia membabitkan kepentingan ribuan rakyat yang setiap hari berulang-alik kerja dari Johor Bahru ke Singapura.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bersama Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution meninjau sendiri keadaan di BSI Johor bagi melihat situasi sebenar keadaan kesesakan tambak Johor, pada Jumaat.
“Hari ini diawal pagi 4.45 pagi, saya bersama YB Menteri KDN dan YAB Menteri Besar Johor serta pegawai kanan KDN serta jabatan dan agensi meninjau sendiri keadaan di BSI Johor bagi melihat situasi sebenar keadaan kesesakan tambak Johor.
“Mengambil kita kepentingan negara serta memberikan keutamaan kepada keselesaan kepada rakyat serta pengguna di CIQ, pelbagai inisiatif telah, sedang dan akan dilaksanakan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, CIQ BSI adalah pintu masuk negara paling sibuk di Malaysia, dan juga dirantau ini.
Maka, semestinya pelbagai usaha akan dilakukan oleh KDN bagi menjamin keselesaan semua.
Turut sama turun padang ke lawatan kerja itu adalah Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud (Ketua Pengarah Imigresen), Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani (Ketua Polis Negara), Pengurusan Tertinggi Kementerian, dan wakil-wakil rakyat setempat.
Sebelum ini, pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam sering mengeluh kerana sering beratur dalam tempoh yang lama terutama ketika waktu puncak.
Sumber: https://www.bnnewsonline.com/kdn-laksana-pelbagai-inisiatif-demi-keselamatan-dan-keselesaan-rakyat/