KDN Galak IPT Anjur Program Kesedaran Keselamatan Awam

January 9, 2024

SHAH ALAM, 9 Jan (Bernama) – Institusi pengajian tinggi digalakkan menganjurkan program atau simposium berteraskan kesedaran keselamatan awam supaya dapat memberi impak positif kepada peningkatan kesedaran itu dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata usaha itu penting dalam memastikan pemupukan budaya keamanan, toleransi seterusnya menggalakkan perpaduan sosial dengan menolak keganasan serta ekstremisme.

Menurutnya jenayah rentas sempadan seperti ancaman ideologi dan fahaman yang bertentangan dengan agama, radikalisme, pengubahan wang haram, budaya songsang dan jenayah terancang terus menjadi cabaran utama yang boleh mengancam kestabilan serta keselamatan negara jika tidak ditangani sebaiknya.

“Sebab itu saya yakin program seumpama ini bakal menambah lagi penglibatan rakyat terutamanya dalam kalangan mahasiswa yang menjadi ejen kepada pergerakan ini (kesedaran keselamatan awam). Seterusnya, kita berupaya memberi hasil yang signifikan dan menyebarluaskan peranan setiap lapisan masyarakat terhadap kepentingan keselamatan.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) sangat mengalu-alukan perkara ini (program atau simposium sebegitu) dan kita harap universiti lain turut mengikuti seperti yang dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya berucap merasmikan program Simposium Kesedaran Keselamatan Awam 2024 UiTM, di UiTM Shah Alam hari ini.

Shamsul Anuar berkata simposium seperti itu merupakan platform yang bagus untuk berkongsi pandangan, menyelaras usaha dan merancang strategi lebih baik serta berganding bahu untuk masa depan masyarakat yang lebih selamat.

Program yang dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM dan Akademik Kepolisan UiTM-PDRM (AKP) dan disertai 300 mahasiswa itu, diadakan bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat tentang isu semasa keselamatan selain sebagai platform untuk berkongsi isu terkini berkaitan keselamatan awam. – BERNAMA

Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2260877

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help