KDN Jelaskan Status Permohonan Kewarganegaraan Kes Gopeng
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berhubung status beberapa permohonan kewarganegaraan dan permit masuk pada sesi Kamar Khas di Parlimen hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kelahiran di Malaysia tidak menjamin kewarganegaraan secara automatik. Kewarganegaraan ditentukan oleh status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung pada waktu kelahiran, selaras dengan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 dan undang-undang berkaitan.
“Anugerah kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan, dan tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Memenuhi syarat hanya membolehkan permohonan dikemukakan, tetapi tidak menjamin ia diluluskan,” katanya.
Menurut beliau, pemohon bertanggungjawab membuktikan kelayakan masing-masing. Setiap permohonan diteliti mengikut giliran berdasarkan fakta kes dan dokumen sokongan, dan tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk keputusan dibuat.
Mengenai kes yang dibangkitkan, permohonan empat beradik Kong Kah Moon, Kong Kah Zhi, Kong Kah Fai dan Kong Kah Seng di bawah Perkara 15A ditolak kerana mereka sudah berumur lebih 21 tahun. Bagaimanapun, mereka masih boleh memohon secara naturalisasi di bawah Perkara 19. Goh Yun Wah pula disarankan mengemukakan permohonan baharu di bawah Perkara 19(1) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kerana beliau tidak dapat dihubungi sehingga surat makluman statusnya dikembalikan kepada KDN.
Permohonan Wong Yu Bo dan Wong Yu Eng di bawah Perkara 15A masih dalam pertimbangan dan tidak perlu dikemukakan semula walaupun bapa mereka, Wong Zah Ning, telah meninggal dunia. Permohonan permit masuk Tang Yu Leong yang ditaja suaminya, Kwah Eng Hai, pula masih dalam tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

