KDN Akui Berdepan Cabaran Jenayah Siber Babit Sindiket Jaringan Global

October 8, 2025

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius jenayah penipuan dalam talian yang berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk sindiket mempunyai jaringan operasi global.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelbagai inisiatif dan usaha digembleng namun masih terdapat cabaran yang menjejaskan keberkesanan tindakan terhadap sindiket jenayah penipuan kewangan itu.

Menurutnya, antara isu utama dikenal pasti termasuklah kelemahan daripada sudut perundangan, kekurangan kepakaran serta cabaran koordinasi dalam kerjasama rentas sempadan.

“Salah satu isu paling kritikal ialah ketidaksepadanan antara undang-undang sedia ada dengan realiti semasa jenayah siber. Banyak peruntukan undang-undang dianggap tidak cukup tegas atau sudah lapuk terutama apabila berdepan dengan taktik penipuan yang semakin canggih.

“Lebih membimbangkan, tiada satu akta menyeluruh yang khusus menangani jenayah siber rentas sempadan menyebabkan banyak kes gagal untuk dibicarakan atau ditangani secara tuntas.

“Di samping itu, hukuman dijatuhkan kadangkala terlalu ringan, tidak memberi impak yang efektif kepada pelaku mahupun sindiket lain,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai faktor kelemahan penguatkuasaan sehingga Malaysia kini dilihat menjadi destinasi pilihan sindiket penipuan antarabangsa termasuk kes terbaru membabitkan lebih 400 orang yang ditahan di Bangsar South baru-baru ini.

Shamsul Anuar berkata, kelemahan lain yang dikenal pasti adalah keterbatasan daripada segi kepakaran taktikal, teknikal dan sumber manusia dalam kalangan pasukan forensik digital serta penguatkuasaan siber yang turut menjadi penghalang besar.

“Ramai anggota penguat kuasa masih belum cukup mahir dalam menangani teknologi baharu yang diguna oleh scammer seperti VPN (rangkaian persendirian maya), spoofing (teknik penyamaran) dan platfom komunikasi yang diinkrepsi.

“Selain itu, infrastruktur pemantauan dan keselamatan siber negara masih belum setanding dengan negara maju menjadikan pengesanan serta tindakan tindak balas terhadap ancaman digital agak perlahan dan menyeluruh,” katanya.

Katanya, bagi mengekang jenayah yang semakin berleluasa itu, kerajaan mengambil beberapa langkah antaranya pindaan undang-undang bagi menangani kes jenayah siber.

“Kerajaan membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi menangani kes jenayah siber khususnya penipuan kewangan menggunakan akaun keldai yang membabitkan peruntukan tambahan iaitu Seksyen 424 (a) 424 (b) 424 (c) dan 424 (d) berkenaan kesalahan memiliki, mengawal dan menggunakan kad ATM, kad kredit dan sebarang instrumen pembayaran.

“Di samping itu, pindaan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) membabitkan penambahan peruntukan Seksyen 116 (d) yang memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menyita dan membekukan akaun bagi menyekat urusan transaksi kewangan.

“Selain itu, kerajaan juga sedang menggubal rang undang-undang berkaitan jenayah siber sebagai sebahagian usaha membanteras jenayah siber di negara ini,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/10/1272631/kdn-akui-berdepan-cabaran-jenayah-siber-babit-sindiket-jaringan-global

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help