KDN Ada Tatacara Khas Urus Kes 3R

September 18, 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memiliki tatacara khusus bagi mengendalikan sebarang kes berkaitan isu agama, bangsa dan institusi raja (3R), selari peruntukan perundangan sedia ada.

Justeru, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memberi jaminan tindakan tidak dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyentuh isu itu, selagi ia tidak melangkaui batas ditetapkan dalam peruntukan perundangan negara.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan ke atas individu yang dikenal pasti mengeksploitasi isu 3R, tanpa mengira latar belakang, status atau kedudukan mereka.

“KDN sentiasa komited dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, selagi ia mematuhi peraturan ditetapkan.

“Justeru, semua pihak perlu mematuhi peraturan sedia ada bagi mengelak dikenakan tindakan (ketika menyentuh isu 3R),” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Anuar ketika menjawab celahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai parameter dibolehkan ketika menyentuh isu 3R, menjelaskan ia perlu dibuat dalam ruang lingkup tiga akta utama iaitu Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya percaya rakan di sebelah sana (pembangkang) ada pengamal undang-undang yang bijaksana dan boleh mengkaji serta membuat penilaian.

“Ia cukup jelas seperti termaktub dalam Akta Hasutan 1948, Akta 574 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Dari situ kita tahu apakah sempadan yang dibolehkan dan sebaliknya.

“Namun, KDN terbuka untuk memberi penjelasan kepada rakan di sana dan saya percaya PDRM juga bersedia bekerjasama kerana semua kita mahu memelihara keamanan dan ketenteraman negara,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, kementerian sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan perbatasan.

Beliau berkata, NBCS akan dilengkapi sistem pengawasan terkini dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses pintar, kemudahan penyebaran dan pengawasan sepanjang masa bagi melindungi sempadan darat dan maritim.

Katanya, pelaksanaan AI akan membolehkan pengesanan objek, pengurangan penggera palsu dan menyokong dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan kawalan keselamatan sempadan.

“KDN melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM ketika ini melakukan rondaan secara berjalan kaki dan berkenderaan bagi menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan sempadan.

“Ia membabitkan kekuatan seorang pegawai dan lapan anggota dalam satu-satu masa di pos kawalan keselamatan dengan kekerapan rondaan tiga kali sehari, bergantung kepada kekuatan anggota.

“PGA juga sedang merancang menggunakan teknologi dalam membuat kawalan atau risikan keselamatan di kawasan operasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1154320/kdn-ada-tatacara-khas-urus-kes-3r

MalaysiaGazette: https://malaysiagazette.com/2023/09/18/kdn-tak-kenakan-tindakan-kalau-tak-sentuh-3r-shamsul/
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/279696/berita/nasional/3r-pdrm-ambil-tindakan-berdasarkan-tatacara-dan-peraturan
Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/679678

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help