Karnival Sukan DUN Kota Tampan Lenggong Bersama Menteri Besar Perak
LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyertai Karnival Sukan DUN Kota Tampan Lenggong bersama YAB Menteri Besar Perak yang berlangsung di Padang Astaka Bunga Raya, Lenggong pada Sabtu.
Karnival yang bermula pada jam 7.30 pagi itu berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai peringkat usia dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk senamrobik, Fun Walk 3KM, acara sukan serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar hadir pada karnival tersebut walaupun baru sahaja pulang dari Kuching, Sarawak pada jam 4.30 pagi selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat Negeri Sarawak pada malam sebelumnya.
“Alhamdulillah ramai yang hadir menyertai pelbagai acara dalam karnival ini,” kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar.
Kehadiran beliau bersama Menteri Besar Perak pada karnival tersebut memperlihatkan sokongan padu kepimpinan kerajaan persekutuan dan negeri terhadap pembangunan sukan serta aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Komitmen tinggi Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar yang hadir tanpa mengira kekangan masa dan keletihan mencerminkan dedikasi beliau dalam memastikan kehadirannya bersama rakyat di kawasan Parlimen Lenggong yang diwakilinya.

