Karnival KK PSH Cemerlang Perak 2026 Dirasmikan Di Lenggong
LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah merasmikan Karnival KK PSH Cemerlang (PSH Excellence) @ Perak 2026 yang berlangsung di Pekan Lenggong pada Jumaat.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh pengetua-pengetua Kolej Komuniti dalam Negeri Perak yang hadir bagi menyaksikan pelbagai aktiviti dan program yang diketengahkan sepanjang karnival berkenaan.
Karnival KK PSH Cemerlang merupakan platform bagi mempamerkan kecemerlangan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dilaksanakan oleh rangkaian Kolej Komuniti di seluruh Negeri Perak, merangkumi bidang keusahawanan, kemahiran teknikal serta pembangunan komuniti.
Program ini selari dengan aspirasi menjadikan Lenggong sebagai hab pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya berikutan pengiktirafan kawasan tersebut sebagai UNESCO Global Geopark yang membuka lebih banyak peluang pembangunan sosioekonomi kepada masyarakat setempat.
Kehadiran Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar selaku wakil rakyat kawasan mencerminkan sokongan padu beliau terhadap usaha memperkasakan pendidikan sepanjang hayat serta keusahawanan bagi manfaat rakyat di kawasan Parlimen Lenggong.

