Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama Diserahkan Kepada Maritim Malaysia

January 3, 2024

PELABUHAN KLANG: Selepas empat kali tertangguh, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) buatan tempatan secara rasminya diserahkan TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), malam tadi.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi, berkata penyerahan secara rasmi itu bagi membolehkan kapal berkenaan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan carilamat.

“Penyerahan OPV1 ini adalah satu lagi detik bersejarah kepada kementerian ini khususnya kerajaan MADANI kerana telah berjaya memastikan kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina setelah beberapa kali berlaku penangguhan akibat ancaman COVID-19 selain proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport.

“OPV1 ini dibina menggunakan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.

“Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini penyerahan kapal berkenaan ditangguhkan empat kali iaitu pada Mac, Julai, November dan Disember 2023 sebelum diserahkan secara rasmi semalam. Difahamkan, penangguhan itu berikutan kelewatan menerima peralatan utama yang ditempah dari luar negara serta menunggu percubaan pelayaran di laut sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia.

Terdahulu, Ruji hadir ke Majlis Penyerahan OPV1 kepada KDN di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn Bhd di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin serta Pengerusi TH Heavy Engineering Berhad, Datuk Jauhari Hamidi.

Mengulas lanjut, Ruji berkata OPV1 juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti Humanitarian Assistance & Disaster Relief (HADR), bertindak sebagai Kapal Logistik, Kapal Mothership, Kapal Pemerintah, serta menjadi tempat penyimpanan Oil Pollution Equipment.

Kapal berkenaan boleh mencapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.

Ia turut dilengkapi peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Dan Fast Interceptor Craft.

“OPV1 ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 orang anak kapal dalam satu-satu masa operasi.

“Berdasarkan kehebatan yang ada pada kapal berkenaan, ia diharapkan mampu membantu Maritim Malaysia memperkasakan lagi pengoperasian agensi ini dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya.

OPV sepatutnya diterima pada 2022

Kerajaan memeterai perjanjian dengan THHE Destiny pada 2017 untuk membekalkan tiga unit OPV pada kos RM740 juta untuk Maritim Malaysia dan kapal peronda berkenaan dijadual diserahkan pada tahun 2022.

Bagaimanapun masalah kewangan syarikat induknya THHE serta pandemik COVID-19 menyebabkan kerja pembinaan kapal berkenaan di Pulau Indah tertangguh.

Kerajaan Perpaduan turut campur tangan dalam pembangunan OPV berkenaan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari tahun lalu mengumumkan kerajaan memberi suntikan pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek OPV1 dapat disiapkan.

Projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat usaha sama Tabung Haji dan Destini Berhad iaitu THHE Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

OPV1 sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada Mac sebelum dilanjutkan lagi pada Oktober 2023.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada Februari 2023 dilaporkan berkata, dua OPV akan diserahkan pada 2023 dan yang ketiga pada hujung tahun ini.

Pada November tahun lalu, OPV1 sudah menjalani ujian laut dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang hingga Pulau Langkawi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1195610/kapal-peronda-luar-pesisir-pertama-diserahkan-kepada-maritim

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help