JAWAPAN
Tuan yang Di Pertua,
Dasar Luar Malaysia menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal Negara lain dan menghormati prinsip dengan izin the law of the land. Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia, khususnya melalui PDRM sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa mana-mana negara termasuk Singapura dalam menangani kes pengedaran dadah merentas sempadan.
Pihak Kerajaan telah meneliti kes Encik Pannir Selvam dan perkara ini telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat di peringkat inter agensi yang berkaitan termasuk pihak Kementerian, PDRM, Wisma Putra dan AGC.
Dalam kes Pannir Selvam, beliau telah disabitkan untuk kes pengedaran dadah di Singapura dan dijadualkan untuk dihukum gantung mati berdasarkan bukti-bukti yang telah dikemukakan oleh pihak berkuasa Singapura dan telah diadili mengikut lunas undang-undang Singapura mengikut prosedur yang ditetapkan (rule of law).
Tuan Yang Dipertua,
Semakan telah dibuat berdasarkan fakta kes semasa Encik Pannir Selvam tersebut yang didapati ditangkap di pintu masuk ke Singapura dengan dijumpai dadah di dalam seluar dalam dan juga di dalam tempat simpan barangan di belakang motorsikalnya.
Encik Pannir telah ditangkap pada 03.09.2014 namun PDRM tidak mendapat maklumat berkenaan tangkapan ke atas Encik Pannir sama ada melalui pihak berkuasa Singapura mahupun oleh ahli keluarga Encik Pannir berhubung isu ini.
Namun, susulan maklumat tangkapan ke atas Encik Pannir yang diterima daripada CNB pada tahun 2019, PDRM telah melakukan risikan terhadap individu yang dikatakan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, namun risikan mendapati kesemua individu terbabit tiada apa-apa kaitan dengan kes Encik Pannir.
Susulan dari surat bertarikh 01 Oktober 2024 kepada YAB PM dan laporan polis yang dibuat oleh kakak Encik Pannir pada 31 Oktober 2018, PDRM sekali lagi telah melakukan siasatan dengan melakukan tangkapan terhadap ketiga-tiga individu yang sama yang dinamakan oleh Puan Sangkari Pranthaman pada bulan Februari 2025 untuk siasatan lebih terperinci namun masih tiada bukti mahupun apa-apa maklumat yang mempunyai ‘operational value’.
Selain itu, berdasarkan ulasan dalam penghakiman Mahkamah Singapura mendapati Encik Pannir bukanlah dalam kategori ‘courier’ iaitu selaku mangsa penyeludupan mengambilkira fakta kes tangkapan Encik Pannir yang melekatkan dadah di kakinya dengan pita pelekat dan menyimpan dadah dalam ruang simpan barang di belakang motorsikalnya. Sebelum itu, Encik Pannir juga didapati mengambil bekalan dadah tersebut yang disorokkan dalam saluran longkang.
Pihak PDRM telah berulang kali dalam meneliti dakwaan keluarga Encik Pannir Selvam berkenaan dengan sindiket dadah yang dikatakannya termasuk menjalankan siasatan ke atas nama-nama individu yang disebutkan oleh keluarga Encik Pannir Selvam.
Tuan Yang di-Pertua,
Pada awal tahun ini Encik Pannir Selvam yang dijadualkan menjalani hukuman mati telah mendapat penangguhan ekoran usaha yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri yang telah berbincang dengan rakan sejawatnya iaitu Menteri Dalam Negeri Singapura.
Seterusnya, usaha kali kedua yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri sekali lagi mendapat persetujuan Singapura bagi PDRM diberikan akses bagi menemubual dan merakamkan percakapan Encik Pannir Selvam.
Oleh dengan itu pada 27 September 2025, PDRM melalui sepasukan pegawai penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sekali lagi telah bertemu dengan Encik Pannir Selvam di Penjara Changi bagi merakamkan percakapan beliau yang telah berlangsung selama empat (4) jam dalam meniliti dan mendapatkan segala petunjuk yang berkemungkinan berguna dan dapat membantu melibatkan perkara ini.
Kesimpulannya, dalam kedua-dua tempoh tersebut PDRM telah meneliti setiap aspek siasatan dan menyimpulkan bahawa tiada alasan munasabah yang mewajarkan PDRM menyatakan sebarang sokongan terhadap sabjek. Maklumat yang diberikan oleh sabjek tidak mempunyai operational value bagi pihak PDRM menjalankan siasatan yang lebih lanjut.


