KUALA LUMPUR – Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, pada Khamis telah memberikan penjelasan dalam Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat berhubung pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), khususnya berhubung jaminan kebajikan penjawat awam yang terlibat dalam fasa transisi penubuhan agensi tersebut.
Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa memelihara hak kebajikan pegawai yang terlibat. Beliau menjelaskan bahawa pegawai yang memilih untuk kekal di skim perkhidmatan asal tidak akan terjejas dari sudut kenaikan pangkat, kekananan, faedah persaraan mahupun kebajikan sedia ada.
“Bagi pegawai yang tidak ditukar lantik, mereka akan kekal di AKPS secara interim tertakluk kepada kaedah penempatan yang ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), atau dikembalikan ke jabatan asal masing-masing tertakluk kepada kekosongan jawatan atas kepentingan perkhidmatan,” jelasnya.
Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri turut menjelaskan bahawa penubuhan AKPS merupakan pendekatan progresif yang telah diamalkan oleh negara-negara maju sejak tahun 2003, termasuk Amerika Syarikat melalui US Customs and Border Protection, Australia melalui Australian Border Force, dan Singapura melalui Immigration and Checkpoint Authority.
AKPS ditubuhkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024. Rang Undang-Undang AKPS 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2024 dan di Dewan Negara pada 1 Ogos 2024, sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2024 dan diwartakan pada 17 Oktober 2024.
Sehingga 19 Jun 2026, sejumlah 8,403 jawatan telah diperuntukkan kepada AKPS, di mana 6,824 jawatan telah diisi manakala 1,579 jawatan masih belum diisi. Perjawatan ini diisi melalui kaedah pengkaderan daripada enam agensi teras iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada 6 April 2026, JPA telah mengeluarkan Pekeliling Skim Perkhidmatan Bilangan Satu Tahun 2026 yang menawarkan opsyen pertukaran pelantikan kepada pegawai yang berkhidmat di agensi teras. Pegawai yang menerima opsyen tersebut akan menikmati penambahan dua kenaikan gaji tahunan (KGT) serta Bayaran Insentif Perkhidmatan (BIP) AKPS sebanyak RM200 sebulan.
Bagi memastikan penerangan yang tepat dan jelas, JPA dan AKPS telah mengadakan lapan sesi libat urus di lokasi-lokasi utama termasuk ICQS Bukit Kayu Hitam, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, ICQS Rantau Panjang, Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Skim perkhidmatan baharu AKPS dijadualkan berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Julai 2026.


