Kadar Residivis Bekas Banduan Catat Penurunan

February 7, 2024

SEREMBAN: Kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan bekas banduan di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak satu peratus kepada 17.06 peratus tahun lepas, berbanding 18.06 peratus pada 2022.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata kadar pengurangan salah laku jenayah itu jika ditukar kepada angka sebenar memberi petunjuk bahawa seramai 3,600 pesalah berjaya ditempatkan semula ke dalam masyarakat.

“Pencapaian ini juga membolehkan sekurang-kurangnya 10,800 ahli masyarakat mendapat kelegaan hasil daripada kepulihan ahli keluarga mereka yang pernah melakukan kesalahan, mengambil kira tiga ahli keluarga utama iaitu ibu, bapa dan pasangan hidup.

“Pada tahun lepas, seramai 15,138 pesalah diluluskan oleh jawatankuasa untuk mengikuti program pembebasan banduan secara lesen (PBSL). Walaupun jumlah ini dilihat kecil berbanding jumlah populasi pesalah, namun ia memberi impak kepada pengurangan kadar residivis dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelepasan Ihsan MADANI sempena Tahun Baharu Cina 2024 dan penyampaian watikah Lembaga Hakim Pelawat Penjara Negeri Sembilan di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata pencapaian terbaik bagi pengurangan residivis adalah dalam kalangan mereka yang menjalani program dalam komuniti iaitu 0.28 peratus, sekali gus membuktikan program pembetulan komuniti seperti PBSL amat berkesan dalam membantu proses integrasi semula.

Jelasnya, pencapaian itu turut memberi kelegaan kepada masyarakat daripada menjadi mangsa jenayah.

Beliau berkata Jabatan Penjara juga dalam rangka persediaan untuk melaksanakan inisiatif penahanan rumah (home detention) yang diluluskan Januari lepas, dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata jumlah peserta yang dibebaskan dan menjalani program Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah PBSL seluruh negara ialah sebanyak 1,092 individu termasuk 44 orang yang diraikan hari ini.

“Kepada para peserta PBSL, sebagaimana pengalaman yang pernah dilalui oleh rakan-rakan terdahulu, ambillah kesempatan ini untuk kembali semula ke pangkuan ahli keluarga dan masyarakat anda dengan memulakan episod baharu dalam kehidupan,” katanya.

Terdahulu, seramai 13 Ahli Lembaga Pelawat Penjara bagi sesi 2023/2024 dilantik bagi melaksanakan tugas dan peranan yang digariskan oleh undang-undang termasuk menganggotai jawatankuasa penilaian PBSL di peringkat negeri.

“Inisiatif ini sudah pastinya akan membantu dalam proses penempatan dan sokongan ini amatlah diperlukan dalam proses pemulihan dalam komuniti,” katanya. -Bernama

Sumber: https://thesun.my/cerita/shamsul-anuar-kadar-residivis-bekas-banduan-catat-penurunan-JE12073813

Bernama: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2268666

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help