Jabatan Penjara Malaysia Laksana PPI, Elak Banduan Kembali Terjebak Jenayah

October 26, 2023

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan Program Pembangunan Insan (PPI) bagi membantu para banduan daripada kembali terjebak dalam melakukan jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, PPI ini dilaksanakan secara berperingkat dan meliputi empat fasa di samping mempunyai tempoh masa tertentu.

“Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan program dan aktiviti rawatan dan pemulihan kepada banduan bagi membina semula sahsiah, sikap, akhlak, rohani melalui PPI.

“PPI dilaksana secara berperingkat meliputi empat fasa dan mempunyai tempoh masa tertentu. Bermula dari fasa orientasi, awal kemasukan, fasa pengukuhan sahsiah, fasa kemahiran dan fasa integrasi (pra-bebas).

“Pesalah juga berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang akademik yang disediakan dari peringkat 3M (membaca, menulis, mengira) sehinggalah ke peringkat Sarjana bahkan ke peringkat Doktor Falsafah,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Penjara Malaysia turut bekerjasama dengan jabatan agensi kerajaan dan swasta dalam memberi latihan pendidikan.

“Berikut adalah statistik pesalah yang melanjutkan pengajian dalam bidang akademik bagi tahun 2022. Untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdapat 128 orang mempunyai kelulusan 100 peratus berbanding pada tahun 2021 (99.6 peratus).

“Kita ada juga di peringkat diploma, tiga orang. Peringkat Ijazah Sarjana Muda, dua orang dan Doktor Falsafah (PHD) tiga orang, seorang memperoleh PHD, seorang sedang di peringkat pembentangan viva dan seorang lagi di peringkat pengajian Institusi Penjara.

“Jabatan Penjara Malaysia turut bekerjasama dengan jabatan agensi kerajaan dan swasta dalam memberi peluang latihan pendidikan kemahiran. KDN melalui Jabatan Penjara telah menawarkan latihan di 34 pusat industri vokasional dalam enam sektor iaitu makanan, perkhidmatan, pembuatan, fabrik, pertanian, perladangan dan penternakan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa seramai 15,790 banduan telah melalui latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Program-program dan latihan-latihan telah dikenal pasti untuk membantu banduan meneruskan kehidupan mereka supaya tidak terjebak kembali ke dunia jenayah adalah dengan memperkasakan program TVET.

“Untuk makluman, mulai 2012 hingga 2022 seramai 15,790 banduan telah melalui latihan TVET melibatkan pensijilan kemahiran SKM. Daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia seramai 15,126 orang dan pensijilan sijil kecekapan kemahiran daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) seramai 664 orang.

“Kementerian Dalam Negeri sentiasa menyokong usaha Jabatan Penjara dalam proses mereformasikan penjara ke arah pusat peradaban budaya kemanusiaan. Usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penjara melalui reformasi adalah selaras dengan nilai-nilai utama Malaysia Madani. Antaranya ialah kesejahteraan masyarakat, daya, cipta, keyakinan dan ehsan,” katanya lagi. – UMNO Online

Sumber: https://umno-online.my/2023/10/26/jabatan-penjara-malaysia-laksana-ppi-bantu-banduan-kembali-terjebak-jenayah-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help