Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan & Pingat Kebesaran PDRM Sesi Ke-2 2023

November 2, 2023

Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail mendahului senarai penerima Darjah Kepahlawanan dan Pingat Pasukan Polis bagi sesi kedua dengan dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P.) dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, pagi tadi.

Istiadat yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut mengurniakan darjah kebesaran yang sama kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Polis Johor, CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Kelantan, CP Dato’ Muhamad Zaki Hj. Harun dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, CP Dato’ Nerita Yaacob.

Pada istiadat itu juga, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Panglima Setia Pasukan Polis kepada 61 penerima, Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Pahlawan Pasukan Polis (87 penerima), Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Kesatria Pasukan Polis (15 penerima) dan Darjah Kebesaran Pangkat Kelima Bentara Pasukan Polis (130 penerima).

Majlis istiadat sesi kedua yang berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari itu melibatkan 299 penerima keseluruhan terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat dalam Pasukan.

Terdahulu, dalam sesi pertama istiadat yang berlangsung pada Selasa lalu, seramai 309 penerima telah dikurniakan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) dan Pingat Keberanian Polis (P.K.P.), dengan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendahului senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama P.G.P.P.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin.

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help