IPCC Dijangka Berfungsi Sepenuhnya Awal Tahun Depan

November 16, 2023

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dijangka berfungsi sepenuhnya pada awal tahun depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini, proses pemilihan, penilaian dan pelantikan ahli suruhanjaya berkenaan bagi jawatan pengerusi dan anggota sedang giat dijalankan.

Pada masa sama, beliau berkata, setakat ini sebanyak 94 aduan berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diterima selaras dengan Seksyen 25 Akta IPCC.

“Prosedur operasi standard (SOP) (bagi meneliti aduan) akan ditentukan selepas pelantikan (ahli) suruhanjaya ini telah dimuktamadkan. Kita ambil maklum semua aduan, klasifikasikan dan teliti dengan baik bagi memberi keadilan kepada semua yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai 24,000 alat bantuan teknik termasuk kamera badan kepada PDRM dan pelbagai agensi di bawahnya, Shamsul Anuar berkata perkara itu telah dibawa ke Mesyuarat Penilaian Pembuktian Konsep yang diadakan pada 26 Okt lepas dan ia akan dimuktamadkan oleh Lembaga Perolehan kementerian pada akhir bulan ini.

“Kamera badan ini akan digunakan oleh anggota PDRM yang bertugas di lapangan terutama oleh Unit Peronda Kereta Polis (MPV) dan Unit Rondaan Motosikal (URB) di 157 ibu pejabat polis daerah di seluruh negara,” katanya dan menambah sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi perolehan peralatan ini.

Rang undang-undang perbekalan 2024 bagi kementerian itu kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju sebelum persidangan ditangguhkan sehingga Isnin depan. – Bernama

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/634908/berita/nasional/ipcc-dijangka-berfungsi-sepenuhnya-awal-tahun-depan

Bernama: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2245199

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help