Inisiatif Digital: Kerajaan Pastikan Tiada Golongan Terpinggir

February 5, 2026

KUALA LUMPUR – MyDigital ID merupakan identiti digital nasional yang membolehkan pengesahan identiti rakyat secara selamat untuk mengakses perkhidmatan dalam talian kerajaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut beliau, MyDigital ID berfungsi sebagai mekanisme log masuk tunggal dan melengkapkan penggunaan MyKad dalam persekitaran digital. “Pelaksanaan MyDigital ID dibuat secara berperingkat dan kini telah atau sedang digunakan oleh beberapa kementerian dan agensi seperti JPJ, KWSP, PERKESO, KKM serta agensi penguatkuasaan terpilih,” jelasnya.

Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), aplikasi MyBayar PDRM merupakan satu-satunya aplikasi dalam talian PDRM yang diintegrasikan sepenuhnya dengan MyDigital ID bermula 1 Oktober 2025. “Aplikasi ini membolehkan orang awam membuat semakan dan pembayaran saman trafik secara dalam talian serta mendapatkan dokumen tertentu seperti salinan laporan kemalangan tanpa perlu hadir ke balai polis. MyBayar PDRM boleh dicapai melalui aplikasi mudah alih atau laman sesawang rasmi,” katanya.

Bagi tahun 2026, PDRM telah memperkukuh inisiatif untuk memastikan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta penduduk luar bandar yang mempunyai kekangan capaian internet atau kemahiran digital dapat membayar saman dengan mudah melalui saluran alternatif. “Antara langkah yang diambil ialah mengekalkan kaunter bayaran fizikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kaunter JSPT dan Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara untuk membantu golongan yang tidak mempunyai capaian internet atau kemahiran digital,” ujar beliau.

Tambah Shamsul Anuar, bagi penduduk luar bandar yang kurang akses kepada peranti, kewujudan Pusat NADI (Pusat Ekonomi Digital) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut membantu komuniti luar bandar mengakses perkhidmatan kerajaan dalam talian, termasuk pembayaran saman, dengan menyediakan capaian internet, latihan literasi digital serta khidmat pemudah cara.

“PDRM juga meningkatkan latihan kakitangan di kaunter bagi membimbing warga emas dan OKU yang hadir, termasuk membantu mereka dalam proses pendaftaran MyDigital ID untuk kegunaan masa hadapan,” katanya lagi.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help