Imigresen Sabah Usir 9,938 PATI Sejak 2021

March 29, 2023

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Sabah mengusir sejumlah 9,938 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada empat depot tahanan di negeri itu ke negara asal sejak 2021 hingga 27 Mac lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia membabitkan 2,497 PATI pada 2021; 5,450 PATI (2022) serta 1,991 PATI bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Mac tahun ini.

“KDN mempergiat usaha pengusiran tahanan ke negara asal dengan mengadakan rundingan berkala dengan pihak Kedutaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepat proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang mahu tahu tindakan diambil terhadap pendatang tanpa izin di Sabah khususnya di Tawau yang banyak menimbulkan gejala sosial dan keselamatan sehingga meresahkan penduduk setempat.

Shamsul Anuar berkata, statistik Jabatan Imigresen Sabah sehingga 27 Mac menunjukkan, terdapat 4,655 PATI yang ditahan di empat depot imigresen di Sabah iaitu di Papar, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Katanya, berdasarkan aktiviti penguatkuasaan membabitkan premis perniagaan dan perusahaan, sebanyak 1,076 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan tangkapan 1,881 PATI dan 45 majikan pada sepanjang 2021.

Pada 2022, Jabatan Imigresen Sabah juga melaksanakan 700 operasi penguatkuasaan membabitkan 1,437 tangkapan PATI dan 14 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen, katanya.

“Sehingga 2023, sebanyak 265 operasi, 487 ditangkap, dua majikan dan 6,405 pemeriksaan dibuat pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, KDN memandang serius berkaitan masalah itu yang memerlukan strategi pembanterasan secara berterusan dan ketika ini sedang memperhalusi Pelan Strategik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin lebih komprehensif dan menyeluruh. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1083309/imigresen-sabah-usir-9938-pati-sejak-2021?utm_source=bh&utm_medium=terkinitabhp

MalaysiaGazette: https://malaysiagazette.com/2023/03/29/10390-pati-diusir-ke-negara-asal-sejak-2021-shamsul-anuar/
Utusan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/03/parlimen-9938-pati-diusir-sejak-2021/
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/251926/berita/nasional/10388-pati-diusir-di-sabah

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help