Iklim Politik Kini Sangat Dinamik, Persiapan Jentera & Strategi Baharu Amat Diperlukan

August 29, 2021

LENGGONG, 29 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata semua pendukung dan jentera parti kini menghadapi cabaran yang semakin besar.

Ujar Ahli Parlimen Lenggong itu, semua akan berhadapan dengan situasi dan iklim politik yang sangat dinamik.

“Semua ini memerlukan persiapan dan strategi baru oleh kita. Kita mesti buat perubahan sesuai dengan perubahan baru landskap politik negara ini,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Lenggong, Sabtu malam.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan secara maya oleh Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, juga selaku Pengarah Pilihan Raya BN Lenggong.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pilihan Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering Datuk Mohd Tarmizi Idris dan kepimpinan bahagian.

Sebagai rekod, Parlimen Lenggong merupakan Parlimen pertama yang melancarkan jentera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tambah Dr Shamsul Anuar yang juga diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Bilik Gerakan, dari segi organisasi jentera pilihan raya, beliau memaklumkan bahawa BN Lenggong telah siap siaga.

“Penubuhan semua unit di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, DUN Kota Tampan dan 11 Pusat Operasi, 34 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan 67 Bilik Gerakan. Cawangan UMNO 11 MCA dan 6 Bilik gerakan MIC telah dilakukan. Manakala kita juga akan lakukan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak lain.

“Dan kita akan mantapkan serta mengadakan pelbagai kursus dan bengkel berkaitan dengannya. Kajian sikap pemilih sentiasa dibuat dan diusahakan,” katanya.

Jelasnya lagi untuk menang dalam setiap pilihan raya kekuatan jentera sangat penting namun aktiviti dengan rakyat tetap menjadi keutamaan.

“Oleh itu, kita melalui semua peringkat baik Bahagian, Pemuda, Wanita, Puteri, MIC MCA, NGO akan terus lakukan kegiatan sebagaimana yang kita lakukan selama ini.

“Insya-Allah. Di segenap kampung, semua jabatan kerajaan, agensi, pertubuhan NGO dan lain-lain akan kita teruskan malah lipatkan gandakan kegiatan kita.

“Kita akan terus berkerja, tidak mahu dilihat parti yang bekerja hanya di waktu pilihan raya sahaja,” katanya.

Begitu juga ulasnya, dalam keadaan apapun perpaduan amat penting dan mesti dekati pengundi tanpa mengira sesiapa.

“Rakyat di Lenggong mesti kita jaga. Jika kita mahu sokongan mereka kita mesti menjaga kebajikan dan kehendak mereka walaupun pastinya tidak 100% mampu kita tunaikan.

“Mari terus kita laksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Pastikan kita terus bersama mereka. Membela dan menjaga kebajikan mereka. Kerana selagi kita bersama rakyat, percayalah rakyat akan bersama kita,” katanya.

Oleh kerana itulah ujarnya, beliau sentiasa menjadikan rakyat di kawasannya menjadi keutamaan dan kebajikan rakyat melalui program Sayangi Lenggong akan terus dilakukan tanpa henti dan tidak bermusim. – UMNO ONLINE

Sumber: https://umno-online.my/2021/08/29/iklim-politik-kini-sangat-dinamik-persiapan-jentera-dan-strategi-baharu-amat-diperlukan-dr-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help