Hari Renjer Sedunia 2020

July 31, 2020

TEKS PERUTUSAN Sempena
HARI RENJER SEDUNIA 2020

31 JULAI 2020

Sambutan Hari Renjer Sedunia (World Ranger Day) merupakan acara tahunan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati renjer yang telah terbunuh atau cedera semasa menjalankan tugas serta mengiktiraf pengorbanan renjer untuk memastikan khazanah sumber asli negara dilindungi.

Renjer merupakan barisan hadapan (frontliner) yang sanggup berhadapan dengan pelbagai risiko termasuk kemalangan, kecederaan dan kematian dalam menjaga dan mempertahankan sumber asli daripada pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar. Renjer juga menjadi penggerak utama dalam memastikan kawasan yang dijaga sentiasa diuruskan dengan baik dan menjadi agen untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat kepada sumber asli.

Di saat kita berhadapan dengan penularan wabak pandemik COVID-19, renjer terus komited dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Antaranya ialah penglibatan renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

OBK telah mencapai kejayaan yang besar dalam menangani pemburuan haram hidupan liar. Pada tahun ini sahaja, OBK telah berjaya menangkap sebanyak 82 orang pesalah melibatkan 36 kes tangkapan dan sebanyak 460 jerat telah dimusnahkan.

Menyedari peranan renjer kepada usaha melindungi dan memulihara biodiversiti semakin mencabar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan PERHILITAN telah mempertingkatkan kekuatan anggota renjer melalui pelantikan 100 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan 50 Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar secara contract for service (CFS) di bawah Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3).

Dalam era norma baharu, penggunaan teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan. Selari dengan keperluan semasa, Kerajaan akan memperkasakan penggunaan aplikasi teknologi seperti geospatial bagi membantu renjer melaksanakan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan. Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan akan memberikan latihan kepada renjer untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam menggunakan aplikasi teknologi yang disediakan. Penekanan juga akan diberikan ke arah memperkukuh integriti renjer bagi membendung salah laku dan salah guna kuasa.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada renjer di seluruh negara. Tidak lupa juga kepada semua ahli keluarga mereka yang banyak berkorban dan memberikan sokongan. Saya menyeru semua pihak untuk menghargai jasa renjer. Mereka adalah wira yang mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan.

Selamat Menyambut Hari Renjer Sedunia Tahun 2020.

Sekian, terima kasih.

YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga & Sumber Asli

#lenggong #KETSA #gerik #mn #umnobn
#perhilitan #vatm #jakoa #malaysia #zoonegara

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help