Hampir 200,000 PATI Sudah Daftar RTK 2.0

March 2, 2023

KUALA LUMPUR: Hampir 200,000 pekerja asing tanpa izin (PATI) dan hampir 20,000 majikan sudah mendaftarkan diri dalam Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) selepas ia diumumkan pada 10 Januari lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata hingga 27 Februari lalu, seramai 194,793 PATI telah berdaftar bawah program RTK 2.0 dengan membabitkan 17,053 majikan.

Beliau berkata, permohonan diterima melalui program itu membabitkan 55 peratus daripada sektor pembinaan, sektor perkhidmatan (28 peratus), sektor perkilangan (enam peratus), sektor pertanian (enam peratus) dan sektor perladangan (lima peratus).

“Bawah Pelan RTK 1.0 yang dilaksanakan hingga 31 Disember tahun lalu, seramai 418,649 PATI berdaftar membabitkan 30,137 majikan.

“Kutipan hasil dijana kerajaan melalui bayaran fi rekalibrasi, levi, pas visa dan proses adalah berjumlah RM714,892,532.50.

“Bagi menyokong keperluan industri beroperasi pada tahap optimum tercapai, kerajaan pada 10 Januari lalu antara lain bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan RTK 2.0 dan dibuka kepada semua sektor penggajian pekerja asing hingga Disember tahun ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai jumlah pecahan PATI yang dipilih untuk menyertai Program RTK hingga kini dan sektor terbabit.

Menjawab soalan tambahan Zahari mengenai syarat serta kelayakan menyertai RTK 2.0 dan sebab pelanjutan itu dilaksanakan, Shamsul Anuar menjelaskan, program itu terpaksa dilanjutkan kerana kemasukan pekerja asing baharu dari luar negara belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor ekonomi negara.

Sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April tahun lalu, beliau berkata, jumlah kumulatif kemasukan pekerja asing baharu masih rendah, apabila hanya 143,623 pekerja asing direkodkan Jabatan Imigresen, menyebabkan sektor kritikal tidak dapat beroperasi secara optimum.

“Antara syarat kelayakan menyertai program ini ialah menyasarkan pembabitan PATI yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kedua, program ini tertakluk kepada PATI yang melakukan kesalahan sebelum atau pada 31 Disember 2022. Ada banyak lagi syarat lain, namun kita tidak kompromi soal keselamatan negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai sasaran jumlah PATI berdaftar dalam RTK 2.0 pula, Shamsul Anuar berkata, kerajaan berharap sekitar 500,000 PATI akan menyertai program itu.

“Sama ada mahu lanjut atau tidak (selepas Disember tahun ini), kita akan melihat perkembangan program yang dilaksanakan,” katanya sambil menegaskan PATI yang memiliki rekod jenayah atau disenarai hitam tidak layak menyertai RTK 2.0.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1071187/hampir-200000-pati-sudah-daftar-rtk-20

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help