Had Umur 16 Tahun Media Sosial Langkah Wajar Lindungi Kanak-Kanak

July 2, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa pelaksanaan had umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial yang diperkenalkan oleh Kerajaan merupakan langkah dasar yang wajar dalam usaha mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko keselamatan siber.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tenom, Tuan Riduan bin Rubin di Dewan Rakyat hari ini, yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan penilaian risiko keselamatan siber negara sekiranya had umur tersebut dilaksanakan, termasuk keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan dalam menangani jenayah siber terhadap kanak-kanak serta kesiapsiagaan ekosistem forensik digital negara.

Menurut Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar, kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang berpotensi terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk eksploitasi seksual dalam talian, buli siber, penipuan digital, penyebaran kandungan berbahaya serta aktiviti perekrutan jenayah melalui platform media sosial.

“Berdasarkan statistik PDRM pada tahun 2024, kesalahan yang melibatkan seksual kanak-kanak di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sebanyak 69 kes telah dilaporkan. Manakala pada tahun 2025, jumlah ini meningkat dengan ketara kepada 146 kes,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan dasar ini adalah selaras dengan inisiatif keselamatan dalam talian negara termasuk Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

“Akta ini turut memperkukuh tanggungjawab platform digital dalam melindungi pengguna kanak-kanak,” tambahnya.

Keupayaan Penguatkuasaan PDRM

Dari aspek penguatkuasaan, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar memaklumkan bahawa PDRM melalui jabatan-jabatan berkaitan mempunyai keupayaan untuk menyiasat kesalahan jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan yang lain mengikut fakta sesuatu kes.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bagi menghadapi trend jenayah siber yang semakin kompleks, PDRM akan terus memperkukuh peralatan teknikal, meningkatkan kompetensi sumber manusia melalui latihan kepakaran serta bekerjasama secara strategik dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia.

Kesiapsiagaan Forensik Digital

Dari perspektif forensik digital, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menyatakan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem yang menyokong siasatan dan pendakwaan kes jenayah siber.

“Kesiapsiagaan ini akan terus diperkukuh dari segi teknologi, kepakaran serta integrasi antara agensi bagi memastikan pengendalian bahan bukti digital dapat dilaksanakan secara lebih efektif, teratur dan sah di sisi undang-undang selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” jelasnya.

5,985 Aktiviti Pencegahan Jenayah Dilaksanakan

Mengenai aspek kesedaran dan pencegahan, beliau berkata Kerajaan terus memberi penekanan kepada pelaksanaan program literasi digital dan kesedaran awam yang lebih bersasar, khususnya kepada golongan muda yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan paling terdedah kepada jenayah penipuan dalam talian.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, sebanyak 5,985 aktiviti pencegahan jenayah telah dilaksanakan di seluruh negara merangkumi ceramah, pameran, kempen media, program advokasi komuniti dan hebahan melalui media sosial,” katanya.

Secara keseluruhannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menegaskan bahawa pelaksanaan had umur 16 tahun ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi mekanisme pengesahan umur yang berkesan, penguatkuasaan bersepadu serta pengukuhan ekosistem keselamatan digital negara bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan kanak-kanak dan keperluan semasa.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help