Guna Perkhidmatan JPN Untuk Mohon Kewarganegaraan

June 9, 2024

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berdepan sebarang isu berkaitan status kewarganegaraan dinasihat mendapatkan maklumat dan panduan menerusi saluran rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, turut menyarankan individu yang mahu mendapatkan taraf kewarganegaraan menggunakan perkhidmatan disediakan JPN, selain perlu mematuhi syarat ditetapkan sebelum mengemukakan permohonan.

Beliau berkata ia bagi mengelak sebarang percanggahan terutama membabitkan syarat kelayakan bagi tujuan berkenaan.

“Saya harap orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan perkara seumpama ini melalui saluran rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN. KDN melalui JPN akan melaksanakan semua proses berkaitan kewarganegaraan mengikut peraturan ditetapkan.

“Saya tegaskan, KDN dan JPN kekal melaksanakan semua perkara berkaitan warganegara mengikut peraturan ditetapkan,” kata kepada BH.

Beliau antara lain berharap tiada pihak cuba mengaitkan KDN terutama JPN susulan penganjuran majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan.

Ini kerana, katanya, JPN jelas menafikan pembabitan jabatan berkenaan dalam program anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Johor itu.

“Sudah dinyatakan banyak kali bahawa penganugerahan taraf Kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia.

“(Taraf) warganegara akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan 30 Jun ini, ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Poster program itu yang tular di media sosial kelmarin menyebabkan ia dikecam dan disifatkan sebagai acara bagi memberi taraf kewarganegaraan kepada pendatang asing di Johor, selain ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat penganjuran acara berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, JPN melaksanakan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat, terutama warga emas, orang kurang upaya dan individu tiada keupayaan hadir ke mana-mana pejabat JPN.

Beliau berkata, MEKAR Komuniti adalah antara perkhidmatan disediakan di bawah inisiatif MEKAR, membabitkan program agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk setempat.

“Selain memberi perkhidmatan berkaitan urus niaga, dokumen pengenalan diri, JPN melalui MEKAR turut memberikan perkhidmatan khidmat nasihat kepada golongan memerlukan.

“JPN menerusi MEKAR Komuniti juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan, bukan sahaja antara agensi kerajaan malah termasuk pelbagai NGO pelbagai latar belakang.

“Namun, bagi mengelak salah faham, MEKAR tidak membabitkan urusan permohonan kewarganegaraan, sebaliknya menawarkan perkhidmatan seperti gantian kad pengenalan, pendaftaran kelahiran, cabutan sijil kelahiran atau kematian dan lain-lain yang boleh dibuat di Bas atau Van MEKAR JPN.

“Permohonan taraf kewarganegaraan pula memerlukan pemohon hadir ke kaunter JPN, tetapi khidmat nasihat mengenainya sentiasa boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang menganjurkan program tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1256684/guna-perkhidmatan-jpn-untuk-mohon-kewarganegaraan-kdn

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help