Geopark Global: Lenggong Perlu Penuhi Kriteria Bertaraf Antarabangsa

September 8, 2022

IPOH, 8 Sept (Bernama) – Beberapa kriteria dan ciri-ciri teknikal tertentu yang ditetapkan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan perlu dipenuhi sebelum Geopark Lenggong boleh mendapat kelayakan dan mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah menyediakan kertas cadangan dan melakukan perbincangan bersama kerajaan negeri bagi merangka pelan agar Lenggong diiktiraf sebagai Geopark Global.

“Kita baru sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan pada Disember tahun lepas dan disebabkan Lenggong mempunyai ciri-ciri bertaraf antarabangsa dan menepati kriteria dikehendaki, maka jawatankuasa tersebut telah memberi inisiatif untuk kita bergerak lebih jauh.

“Perancangan telah dibuat dan jika tiada aral melintang, ia dijangkakan berlaku pada awal tahun 2024,” katanya selepas pelancaran 48-12 Hour Ironbound Adventure (IBA) 1 National Serires Lenggong 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di sini hari ni.

Dilapor pada 16 Dis 2021, Lenggong dan Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021 selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Perak; Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah dan Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan.

Shamsul Anuar sebelum ini dilapor berkata pembangunan dari segi kawasan penginapan pelancongan dan pemerkasaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sekitar Lenggong mesti dilakukan supaya ia dapat diangkat sebagai Lenggong Global Geopark pada 2023.

Dalam pada itu, mengenai program hari ini, Pengarah Kejohanan IBA1 Shamsuri Abd Latif berkata sebuah sukan lasak berkonsepkan sukan pelancongan antarabangsa berprofil tinggi akan diadakan di Lenggong pada 3 hingga 7 Nov nanti yang bakal melonjakkan nama daerah tersebut di persada dunia.

Jelasnya, lokasi tersebut adalah strategik dengan mengambil kira keadaan muka bumi yang sesuai bagi menjalankan sukan tersebut.

“Alam semula jadi Lenggong yang diliputi sungai, tasik, air terjun, gua, bukit bukau dan hutan yang menarik sangat sesuai diadakan aktiviti sukan lasak dan sebagainya.

“Perak Ironbound Series merupakan ‘The Ultimate Malaysia Adventure Racing’ kejohanan sukan lasak yang sudah dianjurkan sejak 2002 lagi selain telah menerima penganugerahan Malaysia Tourism Excellence Business Certification,” katanya.

Shamsuri berkata perlumbaan sukan lasak ‘Adventure Racing’ akan melibatkan dua kategori iaitu 48 jam yang melibatkan penyertaan daripada pasukan antarabangsa sejauh lebih 250 kilometer (km) manakala 12 jam melibatkan pasukan tempatan sejauh lebih 100km.

-Bernama

Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2118869

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help