Geofest 2026: Lenggong Himpun Geopark Antarabangsa
LENGGONG – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah merasmikan penutupan Festival Geofest 2026 yang berlangsung di Resort Tasek Raban, Lenggong pada jam 5.00 petang hari ini.
Festival yang dianjurkan oleh Lenggong Geopark ini berjaya menghimpunkan penyertaan geopark antarabangsa dan domestik, termasuk Kaldera Toba Geopark dari Medan, Indonesia serta Ampat Geopark, Indonesia. Turut menyertai adalah Geopark Langkawi dan hampir kesemua geopark di seluruh negara.
Selain itu, pelbagai institusi pendidikan di Malaysia turut mengambil bahagian dalam festival tersebut, menjadikannya sebuah platform perkongsian ilmu, penyelidikan serta kerjasama strategik dalam bidang geopelancongan dan pemuliharaan warisan geologi.
Penganjuran Festival Geofest 2026 ini mengukuhkan kedudukan Lenggong sebagai destinasi geopelancongan bertaraf antarabangsa, sejajar dengan statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf sejak tahun 2012.
Majlis penutupan tersebut turut menandakan kejayaan festival ini dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara geopark serantau dan antarabangsa bagi memartabatkan warisan geologi negara.

