ePIBG Perkasa Pengurusan PIBG Secara Digital
LENGGONG – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah merasmikan Bengkel ePIBG serta melancarkan ePIBG Sekolah Digital Parlimen Lenggong di Dewan Merdeka Lenggong hari ini.
Program separuh hari itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, melibatkan wakil sekolah di seluruh Parlimen Lenggong bagi membolehkan PIBG memulakan penggunaan platform tersebut sejurus selepas bengkel.
ePIBG merupakan platform pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secara digital yang diperkenalkan menerusi inisiatif Yayasan Didik Negara (YDN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Aplikasi itu tersedia di App Store dan Google Play.
Bengkel berkenaan bertujuan memperkenalkan ePIBG kepada pentadbir sekolah serta ahli jawatankuasa PIBG, di samping membantu peserta melengkapkan pendaftaran akaun dan profil sekolah masing-masing.
Peserta turut diberikan latihan amali untuk mengendalikan modul utama platform tersebut serta menyediakan pelan pelaksanaan 30 hari bagi mendaftarkan ibu bapa di sekolah masing-masing.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari itu disertai pengetua, guru besar atau penolong kanan, Yang Dipertua PIBG, setiausaha, bendahari serta guru penyelaras ePIBG.

