Dwi-Pengiktirafan UNESCO Lenggong Jana Peluang Ekonomi Sektor Penginapan
LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong telah melakukan lawatan tinjauan terhadap kemudahan penginapan yang terdapat di kawasan dwi-pengiktirafan antarabangsa UNESCO Lenggong iaitu Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong UNESCO Global Geopark.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menyatakan bahawa pengiktirafan yang dimiliki oleh Lenggong sebagai satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memperoleh dwi-pengiktirafan UNESCO telah terbukti berupaya mewujudkan pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya dalam sektor penginapan.
“Terbukti pengiktirafan yang dimiliki oleh Lenggong dapat mewujudkan pelbagai peluang ekonomi termasuklah usahawan yang terlibat dalam bidang penginapan,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor penginapan merupakan antara komponen penting dalam ekosistem pelancongan Lenggong yang perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kemudahan yang disediakan berada pada tahap yang memenuhi keperluan pelancong dalam dan luar negara.
Lawatan tinjauan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau dalam memastikan potensi ekonomi yang terhasil daripada pengiktirafan UNESCO dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dan usahawan di kawasan Parlimen Lenggong.
Lenggong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 manakala pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark pula diterima secara rasmi pada April 2026 di ibu pejabat UNESCO, Paris.

