Dewan Rakyat : Bacaan Kali Kedua RUU (Pindaan) 2026

June 25, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 untuk Bacaan Kedua di Dewan Rakyat pada Rabu bagi memperkukuhkan sistem pengurusan penjara negara selaras dengan agenda Reformasi Penjara.

Beliau berkata, Akta Penjara 1995 (Akta 537) yang kali terakhir dipinda pada tahun 2015 perlu dikemas kini bagi memastikan peruntukan undang-undangnya kekal relevan dan responsif terhadap perkembangan semasa berkaitan perkhidmatan korektif negara.

“RUU Penjara Pindaan 2026 dilihat sebagai satu langkah reformasi bagi memperkukuhkan sistem tadbir urus yang melibatkan pemulihan dan keselamatan di penjara menjadi lebih responsif dan bersesuaian dengan cabaran semasa, dan selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar.

RUU tersebut memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu menangani isu kesesakan penjara melalui pendekatan pemulihan yang lebih dinamik; memperkukuh tadbir urus dan keselamatan serta pengoperasian institusi penjara; memperkasa program pemulihan, latihan kemahiran dan pekerjaan banduan; serta memperkukuh penglibatan komuniti dalam menyokong proses pemulihan dan reintegrasi pesalah ke dalam masyarakat.

Antara cadangan utama ialah pewujudan Bahagian baharu berkaitan Peranti Pengawasan Elektronik (Electronic Monitoring Device) yang memberi kuasa kepada Komisioner Jeneral untuk memasang peranti tersebut kepada banduan tertentu bagi memantau pergerakan dan keberadaan mereka sama ada di dalam atau di luar penjara.

Beliau berkata, tafsiran banduan turut diperluas kepada banduan yang dilepaskan secara berlesen di bawah Seksyen 43, selaras dengan hasrat Jabatan Penjara Malaysia yang menyasarkan dua pertiga banduan yang layak untuk menjalani program pemulihan dalam komuniti menjelang tahun 2030.

RUU ini turut memperkenalkan peruntukan baharu mengenai perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas dengan suci hati, peruntukan pelantikan sukarelawan bagi membantu program pemulihan banduan, serta kenaikan penalti am daripada denda RM500 kepada RM5,000 dan pemenjaraan daripada 6 bulan kepada setahun.

Pindaan lain termasuk penambahbaikan struktur perjawatan dengan pangkat baharu Ketua Penolong Penguasa Penjara dan Ketua Sub Inspektor Penjara, pengurusan Lembaga Parol serta membenarkan banduan menjalankan kerja secara individu selain berkumpulan.

RUU yang mengandungi 12 fasal dan 4 subfasal ini telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 29 Oktober 2025 serta JKPK Keselamatan pada 16 Jun 2026 yang memberikan maklum balas positif.

Jemaah Menteri pada 5 Jun 2026 telah bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di mesyuarat Parlimen.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help