Dewan Negara Parlimen Malaysia
(Saya menjawab soalan No 6 Oleh Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai Dan Soalan Tambahan Oleh YB Senator Seruandi Saad)
PENJUALAN MERCUN DAN BUNGA API
(KDN melalui PDRM Tiada Kompromi Soal Keselamatan & Penguatkuasaan)
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal selia pengimportan dan penjualan mercun dan bunga api berdasarkan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Garis Panduan Mengimport dan Berniaga Bunga Api Jenis Happy Boom dan Pop-Pop untuk Jualan Umum Sahaja Sempena Musim Perayaan.
Pihak Kementerian membenarkan 45 item bunga api dan mercun untuk diimport, disimpan dan diniagakan oleh syarikat-syarikat yang berkelayakan. Kelulusan hanya diberikan setelah sesebuah syarikat memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mempunyai tempat simpan selamat bahan letupan (magazin) dan dibenarkan mengimport 45 jenis item bunga api dan mercun yang telah diujinilai dan disahkan selamat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.
Dari segi penguatkuasaan keselamatan, PDRM sentiasa menjalankan pemeriksaan Ops Bunga Api Musim Perayaan dan membuat tangkapan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 berkaitan mercun. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memastikan hanya syarikat yang telah diberi kelulusan sahaja dibenarkan untuk mengimport mercun dan bunga api yang dibenarkan. Manakala pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga bertanggungjawab dalam memastikan premis perniagaan untuk jualan mercun dan bunga api adalah selamat dan bersesuaian. PBT juga memastikan hanya peniaga yang telah diberi kebenaran (permit/lesen/kupon/surat rasmi) sahaja dibenarkan untuk berniaga mercun dan bunga api.
SYARAT SYARAT DITETAPKAN DALAM GARIS PANDUAN YANG DIKUATKUASA OLEH KDN DAN PDRM BERHUBGUNG PENJUALAN MERCUN DAN JUMLAH PEMERIKSAAN DAN TANGKAPAN OLEH PDRM SEMASA OPS BUNGA API MUSIM PERAYAAN.
Garis Panduan ini menetapkan syarat-syarat berikut:
i) Penjualan mercun dan bunga api hanya dibenarkan ketika musim perayaan sahaja;
ii) Keperluan mendapatkan permit menjual mercun dan bunga api daripada PDRM;
iii) Keperluan mendapatkan permit berniaga daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
iv) Keperluan mempunyai tempat simpan selamat bahan letupan;
v) Membenarkan hanya 45 item bunga api sahaja yang boleh dijual yang telah menjalani ujinilai dan disahkan selamat oleh PDRM;
vi) Menetapkan tempoh penjualan mercun dan bunga api.
Sepanjang tahun 2020 – 2022, pihak PDRM telah menjalankan 820 pemeriksaan bagi Ops Bunga Api Musim Perayaan dan membuat 65 tangkapan bagi tempoh yang sama bagi kesalahan di bawah Akta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, berkaitan pembuatan atau pemilikan bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan syak.