Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan lima Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 berkata pengambilan rekod biometrik termasuk 10 cap jari, pengecaman imej dan iris dapat mengurangkan pemalsuan identiti dan pengeluaran dokumen diri yang tepat serta sahih, antara pembaharuan yang dilakukan dalam pindaan itu.
“Ia akan memperlihatkan keberkesanan terhadap perkhidmatan kerajaan, maknanya pengesahan biometrik akan lebih teratur, tepat dan cepat, memudahkan proses semakan identiti individu dalam perkhidmatan kerajaan seperti pemberian subsidi, pendidikan, perubatan dan proses pilihan raya,” katanya.
Dengan menambah baik ciri-ciri pangkalan data biometrik itu, katanya ia sekali gus memudahkan pihak berkuasa terlibat menggunakan pengesanan biometrik untuk tujuan keselamatan negara, kawalan sempadan dan pengecaman jenayah membabitkan isu rentas sempadan.
“Dalam penyiasatan jenayah pangkalan data biometrik, data cap jari atau wajah telah digunakan secara meluas untuk mengenal pasti suspek atau hubungkan individu dengan bukti tempat kejadian. Ini menunjukkan sangat penting perubahan dilakukan,” katanya.



