SUNGKAI: Denda lebih tinggi terhadap pemburu haram dan enam pelan kondusif membuktikan keseriusan Kerajaan, dalam memastikan populasi Harimau Belang Malaya tidak pupus di negara ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pelan bersama-sama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selain agensi dan pemain industri yang terbabit, diharapkan dapat menangani krisis kepupusan Harimau Malaya.
“Kita fokus dan serius dalam memastikan kepupusan itu tidak berlaku. Ini tindakan dan tanggungjawab bersama dalam menangani pemburuan haram habitat ini.
“Kerana itu kita sedang meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (716) 2010 supaya kita lebih respons dalam perkembangan semasa dan usaha konservensi hidupan liar, di mana kita akan tingkatkan penalti dan denda kepada pesalah.
“Kita sedar ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang memperdagang hidupan liar di dalam talian. Jadi pindaan itu akan memperkukuhkan penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti haram tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) bagi menangani krisis kepupusan Harimau Malaya, serta meningkatkan reputasi dan imej industri sawit dalam aspek kemampanan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) hari ini.
MoU itu membabitkan PERHILITAN, diwakili Ketua Pengarahnya Abdul Kadir Abu Hashim, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail, dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya Mohd Nor Hamzah.
MoU itu mengukuhkan kerjasama bagi menangani krisis kepupusan Harimau Malaya bagi meningkatkan kemampanan industri sawit. Selain itu, kerjasama ini memperkukuh konservasi ex-situ Harimau Malaya melalui penyelidikan, bina upaya serta program komunikasi, pendidikan dan kesedaran.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/806379/bhplus
Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/694227/denda-tinggi-pastikan-harimau-malaya-tak-pupus
MYKMU.NET: https://mykmu.net/2021/04/13/ancaman-harimau-malaya-pupus-denda-tinggi-bakal-buru-pemburu-haram/