Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah diumumkan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, malam tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul menegaskan, demi perjuangan parti UMNO, beliau akan tetap patuh terhadap sebarang keputusan yang telah diputuskan.
“Bila diberikan amanah, insyallah saya akan berkhidmat dengan jujur dan amanah demi negara serta rakyat tercinta, biar dimanapun kedudukannya.
“Yakinlah, semua ini adalah atas kehendakNya. Dia yang mengatur segalanya. Kerana itu sebagai pejuang parti, saya akan patuh dan akur dengan apa yang diputuskan,” kata Shamsul melalui hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa penghargaan terhadap Anwar dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab menjadi Timbalan Menteri.
Beliau juga tidak lupa menghargai sokongan daripada Pengerusi BN Lenggong, Datuk Seri Saarani Mohamad, seluruh pimpinan BN dan pengundi beliau di Parlimen Lenggong.
“PRU15 adalah isyarat agar kita mesti bekerja dengan lebih gigih memenangi hati serta menyelesaikan masalah rakyat. Saya yakin jika kita bersama rakyat, rakyat akan bersama kita.
“Lebih dari itu saya amat memahami situasi politik yang sudah begitu berubah, tidak sebagaimana dulu lagi. Justeru kita mesti bertindak secara bijaksana agar Barisan Nasional kekal dan kembali bangkit,” ujarnya lagi.
Sumber: https://www.bnnewsonline.com/demi-perjuangan-umno-shamsul-patuh-dengan-sebarang-keputusan/
Sinar Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1037904/shamsul-anuar-akur-dilantik-timbalan-menteri
Malaysiapost: https://malaysiapost.com.my/2022/12/11/bn-perlu-bijak-untuk-kekal-kembali-bangkit-shamsul-anuar/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=bn-perlu-bijak-untuk-kekal-kembali-bangkit-shamsul-anuar