KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Perhutanan Malaysia adalah bukti usaha dan komitmen bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ke arah mencapai pembangunan mapan dan pengurusan hutan secara berkekalan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dasar itu yang diterima pada Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 pada 29 Januari lalu menyaksikan penyatuan julung kalinya semua negeri di Malaysia dalam bidang pengurusan perhutanan negara yang menjangkau usia 120 tahun.
Perdana Menteri berkata, Dasar Perhutanan Malaysia menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh melalui proses perundingan yang panjang sehingga terhasilnya Dasar Perhutanan Malaysia yang inklusif dengan mengambil kira kepentingan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosio-ekonomi negara.
“Saya berharap agar usaha bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang dihasratkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 peringkat kebangsaan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sementara itu, Anuar dalam ucapannya berkata, Dasar Perhutanan Malaysia akan menjadi rujukan dan panduan kepada dasar-dasar perhutanan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Penggubalan dasar itu adalah manifestasi komitmen negara dalam melaksana pengurusan hutan secara berkekalan.
“Ia adalah agenda utama di dalam negara dan juga prinsip dipegang di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/129499/BERITA/Nasional/Dasar-Perhutanan-Malaysia-jadi-rujukan-panduan
MyMetro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/686488/dasar-perhutanan-malaysia-jadi-rujukan-dasar-hutan-negeri-negeri
Bernama: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1943838
UMNO Online: https://umno-online.my/2021/03/21/dasar-perhutanan-malaysia-jadi-rujukan-dasar-hutan-negeri-negeri-shamsul-anuar/
Berita RTM: http://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/26175-dasar-perhutanan-negara-dilancar-strategi-dan-pelan-tindakan-cabaran-baharu-perhutanan