Bukan Semua Perkara Sentuh 3R Adalah Kesalahan

November 14, 2023

KUALA LUMPUR: Bukan semua perkara yang disentuh berkaitan isu 3R (agama, institusi diraja dan kaum) adalah satu bentuk kesalahan, selagi ia tidak melanggar mana-mana peruntukan dalam undang-undang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau menjelaskan, fitrah acuan isu 3R adalah sangat luas dan pemakaian garis panduan tertentu hanya akan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi batas yang digariskan.

“Saya hendak sebut bukan semua perkara berkaitan 3R dilarang, selagi ia tidak menyalahi dan tidak melanggar peraturan ditetapkan. Jika perkara yang menyentuh 3R tidak menyalahi peraturan, ia bukan kesalahan.

“Pendekatan yang boleh diambil ialah lebih baik tidak berbicara 3R secara terbuka sehingga mengundang rasa tidak selesa pihak lain,” katanya menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat penegasan dan amaran supaya isu 3R tidak diperdebatkan, bertujuan mengelak berlaku situasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“PDRM tetap melaksanakan amanah serta tanggungjawab berlandaskan undang-undang ditetapkan, dan tidak lebih daripada itu. Mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa, boleh menggunakan saluran aduan mengenai salah laku polis menerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC),” katanya.

Terdahulu menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Shamsul Anuar memaklumkan sebanyak 60 daripada 104 kes berkaitan isu 3R, sudah selesai disiasat, manakala 44 lagi masih dalam proses siasatan pihak berkuasa.

“Secara terperinci, isu berkaitan raja ada 47 kes, agama (30) dan bangsa (27). Sebenarnya kalau kita melihat fakta yang ada… bawah Akta Hasutan 1948, dari 2010 hingga September 2023, hanya 19 dituduh daripada 960 kes yang dibuka.

“Ini menunjukkan kita telus dan tidak sewenang-wenang mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak. Siasatan dijalankan PDRM adalah mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan peraturan serta berasaskan undang-undang sedia ada,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1176782/bukan-semua-perkara-sentuh-3r-adalah-kesalahan-shamsul-anuar

Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2244279

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help