Bubur Lambuk Sayangi Lenggong Terus Meriah Di Pekan Lawin
LENGGONG – Program pengedaran Bubur Lambuk Sayangi Lenggong anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong diteruskan lagi pada tahun ini di Pekan Lawin. Inisiatif yang telah menjadi tradisi tahunan ini menyaksikan kakitangan Pusat Khidmat yang diketuai oleh Saudara Solihin Abdul Majid turun padang untuk mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di kawasan berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, program ini merupakan salah satu usaha berterusan untuk menyantuni masyarakat setempat, khususnya sepanjang bulan Ramadan. Beliau berkata, pengedaran bubur lambuk bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah turut memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
“Program seperti ini telah lama menjadi tradisi di Lenggong dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat. Ia juga menjadi peluang untuk kami mendekati masyarakat serta berkongsi rezeki pada bulan yang mulia ini,” katanya.
Shamsul Anuar turut merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, serta berharap tradisi ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan komuniti Lenggong.

