BNComms Beroperasi 24 Jam, Jawab Isu Semasa

February 25, 2022

JOHOR BAHRU: Platform media sosial Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms) akan beroperasi 24 jam sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu sebagai strategi menyampaikan maklumat sahih berkaitan parti berkenaan, selain menjawab isu semasa berikutan kekangan aktiviti berkempen secara fizikal.

“Dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, maka pendekatan dilakukan parti melalui BN Comms untuk memastikan apa jua maklumat parti dan isu perlu dijawab dengan tepat dan teliti kepada rakyat di Johor.

“Kita tahu isu dan maklumat tidak tentu masa dan keadaan berlaku di luar jangka, kerana itu BN Comms sendiri meningkatkan tahap kesiapsiagaan. Antaranya dengan beroperasi 24 jam selama tempoh PRN ini terutama selepas penamaan calon.

“Kita akan sediakan platform yang membolehkan media rasmi atau mana-mana media cetak dan elektronik mendapatkan maklumat tepat melalui saluran yang akan kita maklumkan, selain mengadakan taklimat media setiap hari,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra BN Comms Bersama Media, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, peranan media besar dalam membantu mana-mana parti politik berkempen sepanjang PRN Johor, namun laporan disampaikan kepada rakyat perlu seimbang dan tepat.

“Apa cara kaedah hendak sampai kepada rakyat pastinya mengikut pendekatan media masing-masing, cuma kita harap maklumat tepat diperoleh daripada BN,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, UMNO dan BN Johor akan menumpukan penggunaan media sosial, terutama Facebook serta TikTok untuk mendekati dan menarik perhatian golongan pengundi muda pada PRN ini.

Pendekatan itu selari peningkatan besar jumlah pengundi muda negeri ini susulan pendaftaran automatik Undi18.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2022/02/927037/bn-comms-beroperasi-24-jam-jawab-isu-semasa

MalaysiaGazete: https://malaysiagazette.com/2022/02/25/prn-johor-bn-comms-beroperasi-24jam-sepanjang-pilihan-raya-shamsul-anuar-nasarah/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help