BN Pilihan Terbaik Untuk Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bakal berlangsung bukan sekadar soal memilih parti, sebaliknya ia berkait rapat dengan penentuan hala tuju negeri tersebut untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, rakyat Negeri Sembilan sudah pasti mengharapkan kestabilan, keamanan, serta sebuah kerajaan dan parti yang baik, berwawasan, dan dipimpin oleh tokoh yang berkaliber tinggi.
“Justeru, jika rakyat mahukan kerajaan yang menekankan kestabilan, pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjaga kebajikan rakyat, maka Barisan Nasional adalah pilihan terbaik bagi rakyat di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shamsul Anuar menyeru rakyat Negeri Sembilan agar membuat pertimbangan yang teliti dan memilih kepimpinan yang mampu memacu pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat dalam tempoh penggal akan datang.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa BN memiliki rekod pentadbiran yang kukuh dalam aspek pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, dan penjagaan kebajikan rakyat, menjadikannya pilihan paling relevan bagi masa depan Negeri Sembilan.

