BN Pilihan Terbaik Bangsa Johor
JOHOR BAHRU – YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) merupakan pilihan terbaik untuk Bangsa Johor dalam menghadapi pilihanraya negeri yang akan datang.
Menurut beliau, pilihanraya kali ini bukan sekadar memilih parti, sebaliknya ia merupakan satu proses penting dalam menentukan hala tuju negeri Johor untuk tempoh lima tahun akan datang serta masa depan Bangsa Johor secara keseluruhannya.
“Jika rakyat mahukan kerajaan yang menekankan kestabilan, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat, maka BN menawarkan rekod pentadbiran dan komitmen untuk meneruskan usaha tersebut. BN adalah pilihannya,” tegas beliau.
YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar menyatakan keyakinan bahawa rakyat Johor mampu menilai sendiri rekod pentadbiran BN yang telah terbukti membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada rakyat sepanjang tempoh pemerintahannya di negeri tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat negeri Johor agar membuat pilihan yang bijaksana dan tepat demi menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat di Bumi Johor.

