BN Lenggong Tingkat Kesiapsiagaan Jentera Pilihanraya, 67 Cawangan Hadir Taklimat
LENGGONG – Pengerusi Bilik Gerakan Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah membentangkan perancangan serta gerak kerja pilihanraya yang perlu dilaksanakan di semua peringkat dalam Majlis Taklimat Gerak Kerja Pilihanraya BN Lenggong yang berlangsung di Dewan KEMAS Lenggong pada Sabtu malam.
YAB Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Lenggong turut hadir menyampaikan amanat penting kepada semua pimpinan BN Lenggong, pimpinan Jawatankuasa Pilihanraya PDM serta pimpinan Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan.
Majlis taklimat yang bermula pada jam 8.30 malam itu dihadiri semua pimpinan PDM dan kesemua 67 cawangan di bawah BN Lenggong.
“UMNO BN Lenggong sebagaimana seperti sebelumnya mengerakkan jentera pilihanraya awal dengan memperkukuhkan organisasi, meningkatkan perpaduan di pelbagai peringkat pimpinan, menyelesaikan isu dan masalah rakyat, dan melaksanakan program dengan berstrategi, tersusun dan berfokus,” kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar.
Beliau berkata, mengambil kira landskap politik yang berubah serta sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku, Bilik Gerakan Pilihanraya BN Lenggong telah meningkatkan kesiapsiagaan operasinya sebagai persediaan menghadapi pelbagai situasi.
Majlis taklimat ini dilihat sebagai langkah strategik kepimpinan BN Lenggong dalam memastikan seluruh jentera parti berada dalam keadaan sedia dan bersatu padu menjelang sebarang kemungkinan pilihanraya yang akan datang.

