“BIODIVERSITY TALK TECH” BERSEMPENA SAMBUTAN HARI BIODIVERSITI ANTARABANGSA”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera
Yang Berusaha Encik Dzafri Sham bin Ahmad
Naib Presiden
Kumpulan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar
PETRONAS
Yang Berbahagia Datuk Zurinah Pawanteh
Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Yang Berusaha Encik Abdul Wahid bin Abu Salim
Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli)
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
YBhg. Dato’-Dato, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS di atas inisiatif untuk menganjurkan “Biodiversity Talk Tech” bersempena Hari Biodiversiti Antarabangsa, dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada hari ini. Hari Biodiversiti Antarabangsa disambut pada 22 Mei setiap tahun, bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga dan memulihara kepelbagaian biologi.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
2. Malaysia merupakan antara 12 buah negara yang paling kaya dengan flora dan fauna di mana hampir 70 peratus spesies yang diketahui di dunia terdapat di negara kita. Kepelbagaian hidupan ini penting kepada kehidupan kita termasuk dalam memastikan bekalan air yang cukup dan bersih, penampan bencana alam, pendebungaan spesies tumbuhan serta untuk kegunaan rekreasi.
3. Kemerosotan biodiversiti sekiranya tidak dikawal, boleh meningkatkan ancaman penyakit zoonotik iaitu penyakit bawaan hidupan liar kepada manusia oleh bakteria, virus, parasit serta kulat yang boleh menjejaskan kesihatan awam. Pandemik COVID-19 yang melanda sewajarnya memberi pengajaran kepada kita semua untuk menghargai biodiversiti. Walaupun vaksin telah memberikan harapan untuk kita kembali kepada kehidupan normal, kita harus mengambil kesempatan ini untuk mengukuhkan hubungan kita dengan alam semula jadi. Dalam konteks ini, pemilihan tema Hari Biodiversiti Antarabangsa 2021 iaitu “Kita adalah sebahagian daripada penyelesaian” (We are Part of the Solution) bertepatan dengan situasi yang dihadapi oleh dunia ketika ini.
4. Tanggungjawab untuk menjaga dan memulihara biodiversiti kita adalah mencabar. Namun, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan terus komited menjadi sebahagian daripada penyelesaian dengan menerajui usaha bagi memastikan khazanah bumi kita dipulihara, digunakan secara mampan serta faedah yang terhasil daripadanya dikongsi secara adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan negara pada masa kini dan masa hadapan.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
5. Memulihara biodiversiti bukanlah menjadi tugas Kerajaan atau individu tertentu sahaja, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab kita bersama. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyarankan supaya semua pihak berganding bahu dan terus berusaha untuk melindungi dan memulihara biodiversiti yang merupakan khazanah negara yang amat berharga. Pengukuhan kerjasama strategik antara KeTSA dan PETRONAS dalam konservasi biodiversiti, sewajarnya menjadi pemangkin kepada usaha-usaha konservasi biodiversiti melalui penglibatan kolektif badan korporat.
6. Selaras dengan Sasaran Ke-2 dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025, saya berpandangan bahawa sumbangan sektor swasta kepada pemuliharaan biodiversiti harus ditingkatkan sama ada dalam bentuk kewangan atau mengarusperdanakan (mainstreaming) dalam sektor masing-masing seperti pelancongan, pertanian, perkhidmatan kewangan serta pembangunan tanah dan bandar.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
7. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh KeTSA yang boleh disokong oleh pihak swasta termasuklah Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok; Ops Bersepadu Khazanah (OBK); Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP3); dan Kerangka Kewangan REDD Plus.
8. Program Penghijauan Malaysia yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin pada 5 Januari 2021 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara kita. Oleh itu, sokongan dan penglibatan badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta dan Government Linked Companies (GLCs), amat diharapkan dalam menjayakan kempen ini.
9. Sehubungan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PETRONAS yang sedang bergiat aktif dalam melaksanakan program penanaman pokok melalui inisiatif “PETRONAS walk 4 trees”. Program ini akan menyokong agenda kelestarian PETRONAS menerusi penanaman 50,000 pokok di 12 buah negeri iaitu Kedah, Terengganu, Sabah, Sarawak, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Saya berharap usaha murni ini akan dikekalkan dan seharusnya dicontohi oleh pihak-pihak lain.
10. Di samping itu, KeTSA melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga sedang melaksanakan inisiatif Ops Bersepadu Khazanah (OBK) dan program BP3 menggunakan pendekatan strategik pelbagai agensi, untuk mengukuhkan penguatkuasaan biodiversiti dan menggalakkan penglibatan komuniti termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Veteran Polis Diraja Malaysia serta Komuniti Setempat dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar.
11. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyarankan supaya semua pihak berganding bahu bersama-sama KeTSA untuk melindungi dan memulihara spesies hidupan liar seperti Harimau Malaya, gajah, tapir, orang utan dan seladang yang merupakan khazanah negara yang amat berharga. Saya percaya penglibatan kolektif semua pihak termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha konservasi biodiversiti di Malaysia.
12. Untuk makluman hadirin, KeTSA juga sedang membangunkan Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework). Inisiatif kewangan REDD Plus memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri dan pihak swasta. Sumber kewangan dijana melalui penghasilan sijil-sijil Forest Conservation Certificates (FCC) dan Forest Carbon Offsets (FCO). Kerajaan negeri akan mendapat insentif bagi melindung dan mengurus hutan secara berkekalan. Pihak swasta pula dapat menggunakan sijil-sijil ini untuk memenuhi keperluan ESG (Environment, social and governance) dan mengurangkan jejari tapak karbon. Suka saya memaklumkan bahawa PETRONAS merupakan syarikat pertama yang akan menyertai Kerangka Kewangan REDD Plus.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
13. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PETRONAS kerana sudi bekerjasama dengan KeTSA dalam penganjuran webinar ini. Saya mendoakan agar kerjasama dan kesefahaman yang terjalin ini akan terus utuh bagi memastikan khazanah flora dan fauna kita akan terus diuruskan secara bertanggungjawab dan berkekalan.
Biodiversiti adalah kehidupan kita, warisan kita dan masa depan kita. Selamat menyambut Hari Biodiversiti Antarabangsa 2021!
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Putrajaya.
27 Mei 2021
#parlimenlenggong #SayangiLenggong #teamDSAN #geopark #lenggong