Bicara Agama Perkukuh Ilmu & Amal Di Lenggong
GERIK – “Sesibuk manapun kita, carilah ruang menuntut ilmu dan meningkatkan amal ibadat kita,” demikian pesanan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Lenggong, ketika mengadakan program bicara agama Parlimen Lenggong di Surau Air Jada, Kampung Air Jada, Gerik pada 24 Januari 2026.
Program bicara agama yang menjadi inisiatif tetap beliau ini bertujuan memperkukuh kefahaman agama serta mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat. Kali ini, program tersebut diadakan di Kampung Air Jada, dengan kehadiran pelbagai pihak termasuk YDH Ketua Polis Daerah Gerik, Ketua Balai Polis Lenggong, YDH Dato’ Hj Tarmizi Idris, Cikgu Aida selaku Pegawai Khas Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Ketua Kampung serta kepimpinan dan penduduk Kampung Air Jada.
Majlis dimulakan dengan kuliah maghrib yang disampaikan oleh penceramah jemputan, diikuti dengan solat berjemaah dan bacaan tahlil. Kehadiran ramai penduduk kampung memeriahkan suasana, sekali gus menunjukkan sambutan positif masyarakat terhadap program keagamaan seperti ini.
Menurut beliau, walaupun kehidupan seharian dipenuhi dengan pelbagai urusan dan tanggungjawab, umat Islam perlu sentiasa mencari ruang untuk menambah ilmu dan memperbanyakkan amal ibadat. Beliau menegaskan bahawa usaha menuntut ilmu dan memperkukuh amalan agama adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan berdaya saing.
Beliau turut berharap agar program seperti bicara agama dapat diteruskan secara konsisten di seluruh Parlimen Lenggong, sebagai platform untuk memperkukuh silaturrahim, menyemai nilai murni, dan memastikan suara masyarakat sentiasa didengari oleh pemimpin setempat.

