Belanjawan 2021: KeTSA Komited Urus Bekalan Elektrik Secara Strategik

November 7, 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan terus komited dalam menguruskan bekalan elektrik secara strategik melalui peruntukan sebanyak RM2.10 bilion menerusi Belanjawan 2021.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata usaha itu termasuk mengoptimumkan tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga bagi menjamin perkhidmatan bekalan elektrik yang berdaya harap, mampu bayar dan lestari.

“Kita mengoptimumkan perbelanjaan melalui peruntukan mengurus dan pembangunan bagi pelaksanaan program dalam usaha memastikan kemampanan industri bekalan elektrik dan tadbir urus sumber asli.

“KeTSA juga akan menerajui tadbir urus sumber asli secara bersepadu berteraskan penggunaan sumber yang cekap dan optimum selaras dengan dasar dan undang-undang negara serta komitmen antarabangsa,” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Melalui Belanjawan 2021, KeTSA diperuntukkan sebanyak RM2.10 bilion dengan RM1.06 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.04 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata, pihaknya menyambut baik penubuhanDana Amanah Malaysia-SDG atau MySDG Trust Fund dengan peruntukan permulaan sebanyak RM20 juta.

Beliau berkata, MySDG Trust Fund dilihat sebagai platform terbaik untuk mencipta sinergi di antara sektor awam dan swasta dalam memenuhi obligasi Negara terhadap pencapaian sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“KeTSA juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM50 juta yang diluluskan bagi kerja penyelenggaran dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara termasuk lokasi eko pelancongan di bawah selian kita seperti Taman Negara, Taman Ekorimba, Hutan Taman Negeri dan Taman Geopark.

“Ini kerana, sektor pelancongan domestik kembali menjadi tumpuan rakyat ekoran situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara,” katanya.

Beliau berkata, KeTSA turut menyokong usaha kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancongan di semua Taman Negara bagi merancakkan segmen eko pelancongan.

Katanya, KeTSA juga akan meneruskan Program Penanaman Pokok Bakau bagi memelihara kawasan paya bakau serta spesies pokok lain di pesisiran pantai antaranya di Tanjung Piai, Johor dan Kuala Sepetang, Perak.

“Bagi Program Transformasi Mineral Negara, sumbangan industri mineral dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan dipertingkatkan melalui peluasan liputan eksplorasi mineral dengan sasaran penambahan sebanyak 500 hektar daripada keseluruhan keluasan negara pada 2021.

“Selain itu, sejumlah 32 lombong/kuari akan diaudit dan dibuat penarafan pada 2021 berasaskan kriteria indikator pembangunan lestari (SDI) dalam usaha memastikan industri mineral negara yang lebih lestari dan berdaya harap, ” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/751147/belanjawan-2021-ketsa-komited-urus-bekalan-elektrik-secara-strategik

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help