Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar Kepada Zoo Dan Pameran Tetap Hidupan Liar
KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR BIN HJ NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
BANTUAN DANA PRIHATIN KEBAJIKAN HIDUPAN LIAR KEPADA ZOO DAN PAMERAN TETAP HIDUPAN LIAR
13 APRIL 2020
1. Saya telah menyampaikan dana sumbangan Kerajaan sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada pagi ini sebagai tanda prihatin Kerajaan kepada kebajikan hidupan liar.
2. Dana ini adalah sebagai langkah awal untuk membantu masalah yang dihadapi oleh Zoo Negara khususnya dalam menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar berikutan penutupan sementara premis berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 hingga 28 April 2020 bagi membendung wabak COVID-19.
3. Sehingga kini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengeluarkan sebanyak 34 permit pengendalian Zoo dan Pameran Tetap Hidupan Liar (ZPT) di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi menguatkuasakan peraturan kepada pemilik/pengendali ZPT supaya tidak mengabaikan aspek-aspek kebajikan, pemakanan, penjagaan kesihatan dan pembersihan kurungan hidupan liar. Sebahagian besar ZPT adalah bernaung di bawah Malaysian Association of Zoological Park and Aquaria (MAZPA).
4. Selain Zoo Negara, operasi ZPT lain di seluruh negara turut terjejas teruk kerana kos operasi adalah bergantung sepenuhnya daripada hasil kutipan tiket. Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama MAZPA telah mengumpulkan maklumat bagi mengenal pasti ZPT yang terjejas dan implikasi kos yang terlibat terutamanya bagi menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar. KeTSA komited untuk membantu kesemua ZPT yang terjejas dalam tempoh PKP ini dan sedang berusaha untuk menyalurkan dana dalam masa terdekat bagi tujuan ini.
5. Langkah proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membantu ZPT di negara ini adalah untuk menjamin kebajikan spesies hidupan liar yang ada di ZPT; memastikan kelangsungan operasi ZPT yang mempunyai lebih daripada 1,058 orang pekerja; serta meningkatkan imej dan reputasi negara dalam aspek menjaga kebajikan hidupan liar di peringkat antarabangsa.
6. ZPT dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengumpul dana bagi memastikan stok bekalan makanan hidupan liar adalah mencukupi. KeTSA menyanjung tinggi usaha ini dan menyeru lebih banyak badan korporat menghulurkan sumbangan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibilities – CSR).
7. Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan secara spesifik diskaun 15% bil elektrik secara bulanan selama enam (6) bulan kepada semua ZPT seperti mana diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) sebelum ini. Terdapat juga beberapa inisiatif lain dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh ZPT.
8. Talian Hotline Jabatan PERHILITAN 1-800-88-5151 beroperasi setiap hari pada jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang untuk menerima sebarang aduan dan pertanyaan mengenai hidupan liar.
9. Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk sumbangan sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada pagi ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin kepada isu kebajikan dan memberi keutamaan kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR BIN HJ NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
13 APRIL 2020