Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 Jabatan Imigresen Malaysia Zon Tengah
SEHINGGA 20 JUN 2023 JABATAN IMIGRESEN TELAH BERJAYA MENYUMBANG SEBANYAK RM2.65 BILION KEPADA HASIL NEGARA.
Saya telah dimaklumkan bahawa, pada hari ini, seramai 151 orang penerima, yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari JIM Negeri Perak, JIM Negeri Selangor dan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diraikan dalam majlis yang penuh bermakna ini.
Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga dengan pengiktirafan ini akan menyuntik semangat; mencetus inspirasi dan seterusnya menjadi teladan kepada semua warga JIM dalam memberikan yang terbaik bagi membentuk ekosistem organisasi yang cemerlang.
Di sebalik cabaran yang sentiasa datang serta ekspektasi pelanggan yang semakin meningkat, saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia.
Sehingga 31 Mei 2023, sejumlah 1,379,338 permohonan pengeluaran passport telah diproses di seluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, 515,762 adalah melalui permohonan yang dibuat secara atas talian.
Selain daripada itu, tugas-tugas lazim berkaitan penguatkuasaan undang-undang terus dilaksanakan. Sehingga 21 Jun 2023, sebanyak 4,029 operasi pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh Malaysia. Melalui operasi yang dilaksanakan, seramai 45,063 orang warga asing telah diperiksa.
Berdasarkan pemeriksaan yang dibuat, seramai 10,662 orang warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan. Antaranya termasuklah kesalahan seperti salah guna pas, tinggal lebih masa dan berada di dalam Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Saya juga telah dimaklumkan bahawa setakat 20 Jun 2023, jumlah pendatang asing tanpa izin yang kini berada di Depot-Depot Tahanan Imigresen seluruh Malaysia adalah berjumlah 11,812 orang. Proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin ini sentiasa dilaksanakan sepanjang tahun dan berdasarkan rekod, seramai 21,572 orang pendatang asing tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal.
Dalam masa yang sama, setakat 20 Jun 2023 Jabatan Imigresen Malaysia juga telah berjaya menyumbang sebanyak RM2.65 bilion kepada hasil Negara.
Berdasarkan trend yang ditunjukkan ini, saya berkeyakinan penuh bahawa Jabatan Imigresen Malaysia akan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu sebanyak RM5 bilion bagi kutipan hasil untuk tahun 2023.
Kutipan hasil yang dijana oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia pastinya dapat digunakan oleh Kerajaan dalam merangka pelbagai agenda kebajikan kepada rakyat.
Semua statistik yang telah saya sebutkan ini menunjukkan semangat dan sikap dedikasi yang telah ditunjukkan oleh pegawai/kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia terhadap tugasan yang telah diamanahkan.
Namun demikian, saya percaya masih banyak lagi ruang dan peluang bagi penambahbaikan penyampaian perkhidmatan yang boleh diteroka oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia, sesuai dengan visinya, iaitu ke arah penyampaian perkhidmatan imigresen bertaraf dunia menjelang tahun 2025.
Hari ini saya Merasmi Dan Menyampaikan ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2022 Jabatan Imigresen Malaysia Zon Tengah.
YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN)